Beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor akan terpaksa memberhentikan operasi susulan kekurangan bekalan dos vaksin Covid-19.
Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal itu akan berlaku jika negeri itu tidak menerima bekalan vaksin baharu.
“Beberapa hari lagi beberapa PPV di Selangor akan kehabisan vaksin dan terpaksa berhenti operasi jika tidak terima bekalan vaksin baharu.
“Seluruh negara akan merana, jika mendiskriminasi Selangor. Anda jawablah kepada Allah YB Menteri,” katanya di Twitter menandai Khairy Jamaluddin di Twitter.
Selain Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu, turut ditanda Perdana Menteri, Mahiaddin Md Yassin serta Penasihat Hal Ehwal Kesihatan Awam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.
Dr Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang turut menyifatkan Khairy sebagai tidak mengetahui masalah sebenar di lapangan.
Dalam masa sama, Naib Presiden AMANAH berkenaan mengingatkan Ahli Parlimen Rembau yang juga bekas Ketua Pemuda Umno itu agar tidak berbohong.
“Nampak benar menteri (Khairy) tak tahu masalah di bawah. Selangor ada kapasiti untuk buat lebih. Kalau buat begitu, selepas beberapa hari, ada PPV yang kena tutup sementara.
“Jangan berbohong dengan mengatakan bahawa ada bekalan cukup. Berlaku jujur atau hidung anda akan jadi lebih panjang,” katanya merujuk watak Pinocchio dalam cerita kanak-kanak klasik.