Malaysia Dateline

PPV pertama ditutup, 204 petugas kena Covid-19, 54 orang belum divaksin

Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam ‘pecah rekod’ apabila menjadi PPV pertama terpaksa ditutup sementara ekoran jangkitan Covid-19 besar-besaran.

Penutupan dilakukan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) selepas seramai 204 daripada 453 petugas dijangkiti wabak yang telah meragut 6,260 nyawa itu.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin, berkata keputusan ujian semua terbabit juga mendapati nilai kitaran ambang lebih daripada 35, justeru mereka mempunyai beban virus (virus load) yang rendah.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi itu berkata, sebaik saja pihaknya mengetahui dua sukarelawan di PPV terbabit didapati positif pandemik itu pada 9 Julai lalu, beliau segera mengarahkan ujian Covid-19 beramai-ramai dilaksanakan terhadap petugas di PPV IDCC.

“Ujian ini dijalankan pada 10 Julai membabitkan semua petugas. Susulan langkah ini, setakat ini seramai 204 petugas didapati positif.

“Sebaik saja mendapat maklumat mengenai keputusan saringan pada jam 11 malam tadi daripada makmal Institut Genome Malaysia (MGI), saya mengarahkan penutupan IDCC serta merta selama satu hari, hari ini supaya kerja sanitasi dijalankan oleh pihak bomba.

“PPV IDCC akan dibuka semula pada hari esok,” katanya dalam satu sidang media khas, hari ini.

Dalam masa sama, Khairy berkata, sebanyak 88 peratus atau 400 petugas di PPV IDCC sudah divaksinasi, sementara 12 peratus lagi masih belum mendapat vaksin.

Ditanya sebab baki 12 peratus itu belum mendapat vaksinasi, Khairy berkata, mereka mungkin dalam kumpulan penggiliran baharu oleh Malaysia Vaccine Support Volunteer (MyVAC), yang belum mendapat imunisasi.

Katanya, CITF juga tidak pasti petugas PPV IDCC yang positif dijangkiti dari PPV IDCC atau dari luar.