Malaysia Dateline

PPZ-MAIWP terus menyantuni ‘Barisan Hadapan’

Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerusi Khaira PPZ melakukan penyerahan sumbangan kewangan kepada petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur.

Ianya, bertujuan menyantuni dan menyalurkan bantuan sokongan kepada yang memerlukan di samping berkongsi rezeki untuk mengurangkan beban dalam menghadapi suasana sukar Covid-19.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Eksekutifn Abdul Hakim Amir Osman PPZ-MAIWP menerusi Khaira PPZ menyampaikan sumbangan wang tunai bernilai RM50,000 kepada 167 petugas barisan hadapan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Simbolik penyerahan tanggungjawab sosial korporat bersama Affin Islamic Bank Berhad itu disampaikan oleh beliau kepada penerima yang terdiri daripada kakitangan HKL yang bertugas di sektor pembersihan dan penyediaan makanan hospital berkenaan.

Sumbangan itu katanya, sebagai tanda sokongan dan penghargaan kepada petugas barisan hadapan yang berperang dalam memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

Beliau berkata, PPZ-MAIWP prihatin dengan masalah yang dialami golongan memerlukan dan berharap dengan sumbangan yang diberikan dapat membantu meringankan beban dalam mendepani keadaan ekonomi yang sukar ini.

“Saya menyeru kepada lebih banyak syarikat korporat dan individu untuk sama-sama tampil bersama Khaira-PPZ bagi membantu mereka yang terkesan,” ujar Abdul Hakim.

Menurutnya, Khaira PPZ dengan bantuan pembayar zakat menyalurkan sumbangan kepada hampir 6,000 penerima Musaadah Khaira terdiri daripada peniaga dan golongan B40 yang terkesan dengan situasi yang melanda dunia ini.

“Hampir RM6 juta Dana Wakalah berjaya dikumpulkan dari lebih lima syarikat dan penyumbang lain bagi menyantuni golongan memerlukan ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan seterusnya, akan ada lagi siri-siri agihan lain melalui syarikat yang tampil menyalurkan dana.

Dalam perkembangan berkaitan, Penolong Pegawai Penyediaan Makanan HKL, Nor Shahizan Anuar, 33, berterima kasih kepada PPZ-MAIWP kerana menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan.

Pengarah HKL, Datuk Dr Heric Corray dan Ketua Jabatan Penasihat Syariah Affin Islamic Bank Berhad, Mohd Faiz Rahim, turut hadir dalam sesi bersama media semalam.

Khaira PPZ adalah Corporate Social Responsibility (CSR) kepada PPZ yang berusaha menyantuni pembayar-pembayar zakat yang mempunyai wakalah setelah mereka membayar zakat kepada PPZ.

Melalui tersebut mereka ada bahagian yang boleh diberikan kembali untuk diagihkan sendiri mengikut kepada prospek yang mereka kehendaki sehingga sampai satu tempoh untuk melaksanakan agihan.

Bantuan Khas-Musaadah Khaira PPZ adalah satu program menyantuni mereka yang terkesan dengan Covid-19, seperti peniaga-peniaga kecil, B40, asnaf yang terkesan yang tidak cukup bantuan yang telah diberikan kepada mereka.