PPZ-MAIWP yakin sasaran kutipan zakat RM710 juta untuk 2019 tercapai

PPZ-MAIWP yakin sasaran kutipan zakat RM710 juta untuk 2019 tercapai

Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) yakin sasaran kutipan zakat sebanyak RM710 juta mampu dicapai pada akhir tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff.

Beliau berkata walaupun berlaku sedikit penurunan bagi kutipan zakat perniagaan untuk tempoh Januari hingga November tahun ini, pihaknya kekal positif dengan hasil kutipan zakat-zakat lain seperti pendapatan dan simpanan yang akan terus bertambah pada bulan ini, katanya.

Bagi tempoh Januari hingga November 2019, kutipan zakat yang diperoleh setakat ini adalah sebanyak RM536,687,463.94, meningkat tiga peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, katanya.

“Kami akan berusaha bersungguh-sungguh dengan izin Allah untuk mencapai sasaran yang ditetapkan pada tahun ini iaitu RM710 juta daripada 190,000 pembayar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Zakat Korporat 2019 di sini hari ini.

Pada majlis itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menyaksikan penyerahan bayaran zakat perniagaan kepada PPZ-MAIWP berjumlah RM6,630,126.20 daripada 21 syarikat korporat.

Ahmad Shukri berkata PPZ-MAIWP menyasarkan pembayaran zakat perniagaan daripada 3,000 syarikat korporat dengan kutipan sebanyak RM147 juta bagi tahun ini.

Bagi tempoh Januari hingga November tahun ini, PPZ-MAIWP telah berjaya mengutip zakat perniagaan sebanyak RM88,244,972.60 dengan bilangan pembayar seramai 2,249 orang, katanya.

Ahmad Shukri berkata PPZ-MAIWP meletakkan sasaran kutipan zakat sebanyak RM775 juta daripada 210,000 pembayar zakat untuk tahun hadapan.– BERNAMA