Malaysia Dateline

Praktikal amalan demokrasi pilihan raya diperkenal dalam subjek Sejarah

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata, penambahbaikan sukatan pelajaran Sejarah Tingkatan 4 dan 5 turut meliputi pendedahan amali mengenai amalan demokrasi dan pilihan raya.

Menurut pemimpin Bersatu itu, beberapa elemen ditambah selaras dengan usaha untuk meningkatkan pemahaman mengenai amalan demokrasi serta pilihan raya dalam kalangan golongan muda.

“Bukan sekadar apa yang mereka (pelajar) belajar dalam buku dan kelas, tetapi lebih daripada itu yang mana kita akan minta para guru membuat latihan amali untuk diperkenalkan kepada mereka.

“Pengamalan demokrasi juga bukanlah asing dalam keterlibatan kokurikulum. Kita sedang cuba untuk memperkenalkan di sekolah-sekolah dengan pelbagai perkara praktikal berkaitan pengamalan demokrasi dan pilihan raya itu sendiri,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penghargaan Akreditasi Emas Asia Pacific Accreditation and Certification Commission (APACC) untuk Politeknik Malaysia di Petaling Jaya, hari ini.

Penambahbaikan sukatan pelajaran itu adalah susulan daripada Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 16 Julai lalu bagi menurunkan had umur mengundi, pendaftaran pengundi automatik, dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Terdahulu, Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun bercadang untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk menyediakan modul pendidikan pengundi kepada pelajar sekolah supaya mereka lebih bersedia dan memahami proses demokrasi dan pilihan raya di awal usia.