Prasarana akan semak kos keseluruhan projek LRT3

Oleh MALAYSIADATELINE

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) komited menyemak semula kos keseluruhan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) seperti diarahkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Masnizam Hisham, berkata pihaknya mengambil maklum kenyataan Guan Eng semalam berhubung peningkatan kos keseluruhan projek LRT3.

“Kita akan berusaha lebih giat untuk mengurangkan lagi kos terbabit.

“Pihak pengurusan Prasarana sudahpun mula mengurangkan kos projek LRT3 sejak Februari lalu dan akan terus bekerjasama erat dengan Kementerian Kewangan berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan media,  hari ini.

Masnizam Hisham

Beliau berkata, pihaknya turut mengekalkan kerjasama erat dengan rakan penyampai projek MRCB George Kent Sdn Bhd (MRCBGK) bagi mengenal pasti peluang tambahan untuk mengurangkan kos projek LRT3.

Kementerian Kewangan semalam mengarahkan Prasarana menyemak semula kos projek LRT3 yang bernilai RM31.45 bilion.

Laporan media memetik Guan Eng sebagai berkata, kos keseluruhan projek itu disemak kerana kelemahan pengurusan projek oleh Prasarana.

Beliau berkata, pengurangan kos yang drastik diperlukan bagi memastikan LRT3 lebih kos efektif dan berdaya maju.

Katanya, kementerian tidak akan menyokong sebarang pembiayaan tambahan jika tiada pengurangan kos LRT3 yang drastik, pada masa sama tidak menjejaskan integriti jajaran rel, keselamatan dan kualiti perkhidmatan diberikan.

Secara umum, projek LRT3 dibangunkan bawah Rancangan Pembangunan Rel Bandar oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Rancangan itu dijangka berupaya menaikkan taraf sosioekonomi di Malaysia dan meningkatkan mutu kehidupan rakyat.

Jarak keseluruhan LRT3 ialah 36 kilometer dan akan merentasi 25 stesen sepanjang laluannya.

Pembinaan LRT3 bermula pada 2016 selepas memperoleh kelulusan daripada pelbagai pihak berkepentingan, dan dijangka siap pada 2020.