Malaysia Dateline

Pratayang kesan perubahan iklim global

Seorang Menteri “Kelas D” baru-baru ini bekata, Malaysia tidak tergolong dalam kategori negara yang terdedah kepada impak perubahan iklim yang ketara. Dia ini jaga hal ehwal alam sekitar dan air.

Tak tahulah daripada mana atau siapa yang bagi maklumat “songsang” di atas. Nampak macam dia tidak baca, tersalah baca atau kena main dengan pegawai. Lagi jahanam kalau pegawai yang nasihat Menteri pun “Kelas D” juga. Zaman saya bersekolah dulu, kalau “D” gagallah. Bukan pendekan untuk “distinction” (cemerlang).

Wartawan dan pengarang pun banyak juga yang “blur” bila layan kenyataan macam ini daripada Menteri. Menteri tak cerdik, media massa kelirukan audiens dengan menghebahkan maklumat “half-past six”.

Malah ada yang menulis dalam media sosial bertanya pasal apa banjir Lembah Klang lambat surut atau tidak surut walaupun hujan sudah berhenti?

Kalau Menteri dan wartawan tahu tugas dan tanggungjawab masing-masing, mereka tentu belajar sedikit tentang permukaan bumi atau topografi Lembah Klang ini. Nama pun lembah. Bila lembah rendahlah permukaan buminya. Bila rendah terdedahlah ia kepada air pasang dan banjir. Apatah lagi bila hujan turun melebihi kelebatan dan jangka masa biasa.

Boleh jadi Menteri “Kelas D” dan wartawan pun tak tahu yang Lembah Klang ini sangat rendah kedudukannya daripada paras laut. Cuba tengok peta topografi di bawah. Sebahagian besarnya di bawah 30 meter (98 kaki 5 inci). Pulau Indah, paling rendah dua meter (enam kaki), paling tinggi 79 meter, purata enam meter. Air pasang besar atau ombak besar, banjirlah ia. Bukit Cerakah yang namanya bukit itu pun ada tempat yang hanya dua meter di atas paras laut.

Apatah lagi sekarang paras laut telah naik apabila kepanasan global (global warming) menyebabkan kecairan air beku di khutub Utara (Arctic) dan Selatan (Antarctic). Di antara 1900 dan 2017, paras laut telah naik 16 hingga 21 sentimeter (6+1⁄2 hingga 8+1⁄2 inci). Nampak kecil tapi kesannya besar.

Itu belum diambil kira kerosakan, gangguan dan rombakan muka bumi yang dilakukan oleh manusia yang memberi kesan langsung kepada pengaliran (hidrologi).

Dianggarkan sehingga 410 juta manusia yang tinggal di kawasan kurang daripada dua meter di atas paras laut menghadapi risiko ditenggalami jika kepanasan global tidak disekat. Buat masa ini dianggarkan 267 juta di seluruh dunia tinggal di kawasan kurang daripada dua meter di atas paras laut.

Jadi kita janganlah pandang remeh isu ini. Lantiklah Menteri yang lebih tahu dan meyakinkan; Menteri yang ada kemampuan untuk berkomunikasi secara pintar dengan dunia luar. Bukan Menteri “Kelas D” atau Menteri sekadar untuk menyokong Perdana Menteri.