Malaysia Dateline

PRE Ihsan Johor: PH cadang bantuan ‘one-off’ RM1000 untuk petani, penternak, nelayan

Pakatan Harapan (PH) Johor mengemukakan beberapa inisiatif yang boleh dipertimbangkan kerajaan Johor untuk menambah baik Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor 3.0.

Antaranya, bantuan secara “one-off” sebanyak RM1000 di mana PH Johor berharap agar kerajaan negeri memasukkan sekali bantuan kepada petani, penternak dan nelayan di Johor yang terjejas akibat pelaksanaan PKP 3.0 dan pandemik.

Katanya, PRE juga perlu menambah peruntukan untuk meningkatkan data dan capaian internet tanpa had di kawasan luar bandar dan bandar di Johor.

“Usaha memberikan data internet tanpa had, khususnya buat golongan B40 dan M40 yang banyak menggunakan internet di rumah untuk bekerja dan PdPR, amat penting untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup warga
Johor. Ia juga dapat menggalakkan PKS di Johor beralih kepada perniagaan secara digital,” katanya.

Selain itu, Pusat Pengambilan Vaksin (PPV) di Johor yang terletak di pusat bandar menyukarkan Bangsa Johor, khususnya mereka di kawasan desa dan luar bandar untuk bergerak ke PPV.

“Kami mencadangkan supaya perkhidmatan pengangkutan percuma ditawarkan kepada rakyat untuk mendapatkan vaksin di PPV.

“Kerajaan negeri Johor boleh mengkaji pendekatan kerajaan negeri Selangor yang menyediakan rebat pengangkutan bagi perkhidmatan e-hailing untuk mendapatkan vaksin sebanyak RM20 yang memanfaatkan 50,000 orang pengguna dengan kos keseluruhan sebanyak RM 1 juta,” katanya.

Dalam kenyataan bersama Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Syed Ibrahim Syed Noh, dan Pengerusi DAP Liew Chin Tong berkata PH Johor menekankan sekali lagi betapa pentingnya untuk mewujudkan perkhidmatan PPV bergerak dan penggunaan pusat komuniti seperti rumah ibadat sebagai PPV di kawasan luar bandar supaya dapat memudahkan penduduk.

Dengan menambah kaedah ujian saringan Covid-19 katanya Kerajaan Johor seharusnya mempertimbangkan penggunaan kit ujian saringan kendiri dan ujian nafas Covid-19 seperti yang digunakan di Singapura, di samping ujian RTK-Ag dan ujian PCR.

“Ujian saringan perlu dilaksanakan secara besar-besaran untuk mengesan kes-kes positif dalam kalangan komuniti supaya dapat mengekang penularan wabak secepat mungkin,” katanya.

Selain itu katanya, usaha dwipartisan amat penting bagi memenangkan perang ini terhadap Covid-19 demi kesejahteraan Bangsa Johor.

Pemberian peruntukan khas sebanyak RM 7.05 juta kepada semua ADUN dan JPKD untuk melaksanakan program advokasi vaksinasi dan program kebajikan di kawasan masing-masing juga merupakan satu bentuk kerjasama dwipartisan yang proaktif.

Terdahulu, kerajaan Johor mengumumkan PRE Ihsan Johor 3.0 berjumlah RM 241 juta yang dibentangkan oleh YAB Datuk Ir. Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor pada 10 Jun 2021.