Malaysia Dateline

Premis berpotensi jadi lokasi titik panas COVID-19 disenaraikan

Susulan kes COVID-19 semakin meningkat, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membuat ramalan ke atas premis-premis yang berpotensi menjadi lokasi titik panas penularan COVID-19 dalam tempoh tujuh (7) hari berdasarkan pemantauan yang dilakukan.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin penyenaraian lokasi serta premis ini amat penting dan wajar dilakukan memandangkan bilangan kes-kes baharu positif COVID-19 yang dilaporkan setiap hari berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

“Dalam tempoh tujuh hari yang lalu, sebanyak 23,712 kes baharu positif COVID-19 telah dicatatkan manakala kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) telah meningkat sebanyak 21 peratus berbanding minggu sebelum ini,” katanya dalam kenyataan.

Kata beliau, penyenaraian lokasi dan premis ini membolehkan intervensi awalan (preemptive) dan tindakan wajar diambil oleh pihak berkuasa, pemilik premis serta orang ramai bagi mengelakkan berlakunya kluster baharu.

“Perkongsian senarai lokasi ini bertujuan untuk membantu masyarakat membuat perancangan perjalanan dan keputusan yang wajar sebelum menuju ke sesebuah lokasi atau premis agar dapat menghindari risiko
jangkitan COVID-19.

“Ia juga boleh dijadikan panduan kepada pemilik atau pengusaha premis untuk mengambil langkah proaktif bagi mencegah dan melindungi premis masing-masing daripada menjadi pusat penularan jangkitan COVID-19,” ujarnya.

Pada 4 Mei lepas, Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersetuju untuk mengeluarkan senarai lokasi serta premis berisiko yang dikenalpasti oleh sistem amaran awal Hotspot Identification for Dynamic Engagement (HIDE) sebagai lokasi titik panas penularan COVID-19.

Antara intervensi awal yang dilakukan adalah menghantar notifikasi kontak kasual menerusi aplikasi MySejahtera; kawalan pergerakan pengunjung/pelawat dengan lebih ketat; menghalang kemasukan pengunjung/pelawat dengan status berisiko tinggi seperti yang terpapar di aplikasi MySejahtera; mewujudkan sistem gelembung tempat kerja dan susunan bekerja dari rumah; serta melakukan ujian saringan secara massa ke atas pekerja.