Malaysia Dateline

Premis haram Sungai Buloh: 4 penguatkuasa MBSA direman 7 hari

Selepas tular video kewujudan pusat judi haram serta kedai runcit menjual rokok seludup di Sungai Buloh, empat penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) direman tujuh hari sehingga 18 Ogos ini.

Turut direman atas permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya ialah seorang individu dipercayai penjual rokok seludup.

Majistret Shah Wira Abdul Halim membenarkan permohonan perintah reman itu kira-kira jam 9.20 pagi ini.

Kesemua mereka berusia antara 41 hingga 49 tahun itu direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Terdahulu mereka terbabit dilihat tiba di Mahkamah Majistret Putrajaya kira-kira 8.40 pagi tadi dengan memakai baju lokap SPRM dan bergari.

Semalam, SPRM menahan empat pegawai penguatkuasa MBSA kerana disyaki melindungi premis perniagaan tanpa lesen di Sungai Buloh.

Nilai sogokan terbabit yang dibayar kepada anggota penguat kuasa yang mengawasi kawasan itu, dipercayai bergantung kepada saiz premis dan jenis perniagaan yang dijalankan.

Antara premis yang membayar sogokan itu termasuk kedai makan tanpa lesen, penjualan rokok, gerai yang menjalankan perniagaan di tempat tidak dibenarkan dan premis perjudian.