Premis makanan kotor: MBPP keluarkan lebih 300 kompaun

Premis makanan kotor: MBPP keluarkan lebih 300 kompaun

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) telah mengeluarkan sebanyak 313 kompaun terhadap premis makanan yang gagal mengekalkan kebersihan di sebelah Pulau sepanjang 2018.

Ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng berkata, setakat Februari tahun ini pula, sejumlah 36 kompaun sama telah pun dikeluarkan.

Menurutnya, MBPP sebelum ini telah mewajibkan kesemua premis makanan yang ada supaya memasang perangkap minyak dan sampah.

Malah katanya, ia harus dibekalkan oleh syarikat pembekal yang mempunyai piawaian SIRIM.

“Mana-mana pemilik premis dan pengendali makanan yang tidak menyediakan perangkap minyak dan sampah atau gagal memastikan kedua-dua perangkap itu dalam keadaan sempurna, maka ia boleh dikenakan tindakan kompaun mengikut undang-undang.

“Operasi mereka boleh dihentikan ataupun lesen mereka dibatalkan.

“Ianya turut termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan Undang-Undang Kecil Kebersihan dan Keselamatan Awam 1980 serta Undang-Undang Kecil Establishment Makanan 1991,” jelasnya.

Yuee Harng yang juga merupakan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam MBPP berkata, di bawah Seksyen 69, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menyatakan sesiapa yang mengotorkan atau melakukan gangguan mana-mana saluran air dan parit awam boleh dikenakan denda sebanyak RM500 bagi setiap kesalahan.

Namun begitu jelasnya, jika disabitkan kesalahan oleh Mahkamah, maka kompaun yang akan dikenakan adalah denda tidak melebihi RM2000 atau pun penjara tidak melebihi satu tahun ataupun kedua-duanya sekali.

“Dalam operasi bersepadu yang diadakan pada hari ini (semalam) pula, sebanyak 19 kompaun telah pun dikeluarkan.

“Tindakan membuang sisa makanan dan sisa minyak ke dalam parit dan longkang mengakibatkan ianya tercemar, busuk serta menyekat aliran air.

“Tidak dapat dinafikan saban tahun MBPP terpaksa mengeluarkan jutaan ringgit bagi pembersihan saliran air yang tersekat samada parit besar ataupun parit biasa,” tegasnya lagi.