Malaysia Dateline

Premis perniagaan di Sarawak dibenarkan dibuka 24 jam esok

Semua premis perniagaan yang menawarkan perkhidmatan 24 jam di Sarawak dibenarkan beroperasi berkuat kuasa 17 Jun ini (esok).

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu, operasi itu turut melibatkan perkhidmatan stesen minyak, kedai serbaneka 7-Eleven, restoran rantaian makanan segera termasuk KFC dan McDonald’s serta kedai makan 24 jam.

“Garis panduan dan prosedur pengendalian standard (SOP) hendaklah dipatuhi dalam pengurusan mereka.

“Malah, JPBN dari semasa ke semasa akan mengumumkan pertambahan aktiviti ekonomi yang dibenarkan nanti.

“Ini dibuat atas pemerhatian berdasarkan kejayaan melandaikan keluk kes dalam tempoh beberapa hari yang lepas,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Bagi aktiviti ibadah bukan Islam, beliau menegaskan ia akan dibenarkan mulai 20 Jun ini.

Jelas Uggah, SOP pembukaan semula rumah ibadat (bukan Islam) telah dibincangkan dan SOP terperinci berkenaan boleh didapati daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR).

Selain itu, menurutnya lagi, Jabatan Agama Islam juga telah mengeluarkan garis panduan untuk majlis akad nikah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pematuhan (PKPP) dan telah diperakui oleh JPBN.