Presiden al-Bashir tolak gesaan letak jawatan

Presiden al-Bashir tolak gesaan letak jawatan

Presiden Sudan, Omar al-Bashir yang berdepan bantahan paling buruk sejak merampas kuasa pada 1989, menolak gesaan supaya beliau meletak jawatan.

Berucap di hadapan anggota di pangkalan tentera dekat Atbara, timur laut Khartoum, Bashir menolak tuntutan penunjuk perasaan supaya beliau melepaskan kuasa kepada tentera.

“Kami tidak mempunyai masalah kerana tentera tidak menyokong pengkhianat, tetapi mereka terus mendokong tanahair dan pencapaiannya,” kata Bashir, menurut petikan ucapan berkenaan, disiarkan sebuah rangkaian televisyen yang mempunyai kaitan dengan parti memerintah pimpinannya.

Beliau berkata, “terdapat golongan yang berkonspirasi menentang Sudan dan mahu menyerang negara itu. Tiada pilihan lain kecuali dialog kebangsaan dan pilihan raya. Tiada alternatif lain buat al-Bashir.”

Minggu lalu kumpulan 22 parti menyerahkan memorandum menuntut presiden itu meletak jawatan.

Bashir, bekas jeneral yang meraih jawatan menerusi rampasan kuasa tentera mendapat sokongan pemimpin Islam, kekal memerintah selepas pilihan raya disifatkan pembangkang dilangsungkan secara tidak adil dan bebas.

Bantahan terhadap kenaikan harga barang dan keperitan ekonomi lain, bermula sejak 19 Disember lalu.

Pihak berkuasa menyatakan 19 maut termasuk dua anggota keselamatan manakala Amnesti Antarabangsa dan Pemerhati Hak Asasi Manusia menganggarkan lebih ramai terbunuh.

Loading...

Pasukan keselamatan menyekat dan menyuraikan penunjuk perasaan menggunakan peluru hidup selain gas pemedih mata dan bom renjatan, kata saksi.

Tunjuk perasaan di Omdurman, bandar berkembar Khartoum, adalah demonstrasi terbesar sejak beberapa minggu lalu.

Video yang tular di media sosial memaparkan orang ramai melaungkan “kebebasan, keamanan, keadilan” dan “revolusi adalah pilihan rakyat”.

Gabenor Al-Tayib Al-Amin berkata, tunjuk perasan pada Selasa itu tidak ramai dan polis menanganinya secara profesional.

Britain, Amerika Syarikat, Kanada dan Norway mengeluarkan kenyataan bersama menyuarakan kegusaran mereka terhadap respons kerajaan Sudan terhadap penunjuk perasaan.-BERNAMA.