Malaysia Dateline

Presiden AMANAH akan menghadap Agong 3 petang ini

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara jam 3 petang ini.

Ahli Parlimen Kota Raja itu mengisi senarai ketua-ketua parti politik negara yang menghadap Seri Paduka bergilir-gilir mulai hari ini.

Sebelum bekas Menteri Pertahanan itu menghadap baginda, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dijadualkan akan berbuat demikian pada jam 2 petang ini.

Sementara itu, Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) keluar dari Istana Negara pada jam 11.54 pagi tadi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu pula selesai menghadap Agong apabila keluar dari pekarangan Istana Negara pada jam 8.56 pagi.

Pertemuan ketua-ketua parti politik dengan Seri Paduka hari ini berlaku ketika penularan Covid-19 berada pada tahap membimbangkan dengan 82,797 kes aktif termasuk 903 pesakit dirawat di ICU setakat semalam.