Presiden AMANAH arah aktifkan misi bantuan mangsa banjir

Presiden AMANAH arah aktifkan misi bantuan mangsa banjir

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu mengarahkan semua pihak saling bekerjasama menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang dan beberapa kawasan di selatan Kedah.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau mengarahkan semua ahli dan penyokong AMANAH khususnya pasukan sukarelawan ARiF menggerakkan misi bantuan semaksimum mungkin.

Langkah itu, tegasnya, perlu dilakukan pada kadar segera berserta kerjasama penuh dengan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan.

“Saya juga telah menghubungi AMANAH Negeri Pulau Pinang dan Biro Kebajikan, Kemanusiaan dan Bencana Alam Nasional bagi menyelaraskan gerak kerja misi bantuan ini.

“Sehingga kini, saya dimaklumkan bahawa AMANAH telah membuka Bilik Gerakan Banjir di Dewan JKKK Sungai Dua dan Pusat Khidmat KADUN Permatang Pasir serta bantuan kepada mangsa banjir sedang giat dijalankan oleh petugas AMANAH,” ujarnya.

Untuk rekod, hujan lebat di Pulau Pinang sejak jam 12 tengah hari berserta angin kencang semalam berterusan lebih 17 jam menjejaskan kebanyakan kawasan di negeri itu.

Sebahagian kawasan di Georgetown dan Seberang Perai lumpuh ditenggelami air selain berlakunya hakisan tanah, pokok tumbang serta kesesakan lalu lintas luar biasa.

Sebahagian kawasan di Georgetown dan Seberang Perai lumpuh ditenggelami air.

“Saya mendoakan agar mangsa-mangsa yang terlibat tabah menghadapi ujian ini dan kerja-kerja bantuan dapat dijalankan dengan baik,” kata Mohamad lagi.

Setakat jam 2 pagi tadi, sekurang-kurangnya 18  pusat pemindahan banjir sementara dibuka di tiga daerah di Pulau Pinang bagi menempatkan hampir 400 mangsa bencana alam terbabit.

Pusat pemindahan itu masing-masing lima di daerah Barat Daya,  11 di Seberang Perai tengah manakala dua di Seberang Perai Utara.

Paras air sungai yang tinggi akibat hujan lebat yang berlarutan bertembung dengan kejadian air pasang menyebabkan limpahan air berlaku dengan cepat.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Melaysia) dalam satu kenyataan jam 9.30 malam tadi memberi amaran mengenai hujan yang sangat lebat dan berterusan berserta angin kencang sedang berlaku di negeri Pulau Pinang.

Cuaca buruk yang dijangka berlanjutan hari ini turut dijangka berlaku di beberapa kawasan di Kedah iaitu sekitar daerah Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu.

7.7
OVERALL SCORE
: 9.0
2 user votes x 7.0
CATEGORIES
TAGS