Presiden AMANAH bertanding 3 penjuru di Kota Raja

Mohamad (tengah) bertanding tiga penjuru di Kota Raja melawan calon Pas dan BN.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu disahkan sebagai calon Parlimen Kota Raja dan akan melawan calon Pas, Mohamad Diah Baharun dari Pas dan V Gunalan dari Barisan Nassional (BN).

Ketiga-tiga mereka disahkan sebagai calon oleh pegawai pengurus pilihan raya kawasan Kota Raja jam 11.20 pagi ini.

Parlimen Kota Raja menjadi semakin banyak pengundi bukan Melayu apabila dua peti undi di bawah parlimen Perlabuhan Klang yang majoriti bukan Melayu dipindahkan ke sini melalui persempadanan semula kawasan pilihan raya.

Pengundi bukan Melayu kini 56% di Kota Raja berbanding 52% dalam PRU 13 lalu.

Pengundi Melayu adalah 44% berbanding India 37% dan Cina 19% dari kira-kira 150,000 pengundi berbanding 130,000 dalam PRU 13.

Mohamad bersalam dengan penyokong Pas selepas disahkan sebagai calon PH di parlimen Kota Raja.

Mohamad Sabu ketika berucap selepas beliau disahkan sebagai calon parlimen Kota Raja hari ini mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong beliau.

Kata beliau, kekuatan PH dalam pilihan raya ini bukan kerana beliau tetapi kerana penyokong dan pengundi kawasan ini.

“Jika saya tanding calon bebas, adakah saya akan menang? Tidak,” kata Mohamad.

Mohamad juga mengumumkan tiga anak bekas pemimpin besar Pas menjadi calon AMANAH dalam pilihan raya kali ini.

“Tiga anak tiga pemimpin besar Pas sebelum ini menjadi calon AMANAH dalam pilihan raya kali ini.

“Oleh itu, tidak ada sebab untuk orang Melayu takut untuk memberikan kepercayaan kepada PH dalam pilihan raya ini kerana anak ulama besar Pas kini bersama AMANAH,” kata Mohamad di khemah PH selepas penamaan calon di Dewan MBSA Kemuning Utama, Klang hari ini.

Mereka adalah Nik Omar Nik Aziz di DUN Chempaka, Kelantan, Faiz Fadzil di DUN Permatang Pasir, Pulau Pinang dan Datuk Dr Mujahid Yusof yang akan mempertahankan kerusi parlimen Parit Buntar, Perak.

 

9.5
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 9.0