Malaysia Dateline

Presiden AMANAH seru ahli ziarah ‘rakan lama’

Mulai tahun hadapan, ahli dan penyokong AMANAH harus turun ke lapangan dengan melancarkan program penerangan parti termasuk menziarahi rakan dari Pas.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu bersetuju dengan penegasan beberapa pimpinan di peringkat nasional agar menyantuni rakan dari Pas.

“Saya yakin setelah berlaku penyesuaian dan sebagainya, tahun depan kita semua akan turun ke bawah habis-habisan untuk melancarkan program penerangan Parti AMANAH Negara,” ujarnya disambut tepukan gemuruh daripada perwakilan.

Menteri Pertahanan itu berkata demikian dalam ucapan ucapan penangguhan sempena Konvensyen Nasional 2019 AMANAH di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) hari ini.

“Saya setuju kepada Salahuddin Ayub kata dan Mahfuz Omar sebut bahawa kita tinggalkan Pas tetapi jangan tinggal rakan-rakan Pas.

“(Kalau) sempat kita ziarah termasuk rakan-rakan lama (Pas). Saya sempat ziarah salah seorang bekas pemimpin lama Pas. Sudah tua dan uzur sekarang ini.

“Dia pegang tangan saya ketika saya duduk di sebelah dia, dia tidak mahu lepas. Dia dulu Ahli Jawatankuasa Majlis Syura juga dulu.

“Dia pegang tangan saya lama. ‘Kau menteri sekarang ya’. Itulah empat patah perkataan yang diucapkannya. Saya nampak dari sinar matanya terpancar sinaran kasih sayang yang tidak terhingga,” ujarnya.

Mohamad yang mesra dipanggil Mat Sabu juga bekas Timbalan Presiden Pas berkata, rakan-rakan dari ‘parti lama’ sebenarnya mengenali kumpulan pemimpin awal penubuhan AMANAH yang berada di peringkat nasional.

“Rakan-rakan lama ini mereka kenal kita dalam parti lama dulu. Kita bekerja tidak mengira waktu untuk membina parti dulu kita ini.

“Tidak kira masuk, keluar penjara. Apa tuduhan sekali pun, kita jalan terus dan mereka mengenal kita,” katanya.

Dikenali sebagai pemimpin yang mudah berseloroh ketika berucap, Ahli Parlimen Kota Raja itu percaya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyayanginya lagi.

“Saya yakin termasuk presiden parti lama saya pun masih sayang kepada saya. Kita pun sebenarnya masih sayangkan dia tapi dia tidak mahu sayang pada kita.

“Gelaran berapa jenis binatang dia sudah sebut,” ujarnya serentak disambut gelak ketawa perwakilan.

Konvensyen Nasional 2019 AMANAH kali keempat di IDCC melabuhkan tirai jam 3 petang tadi.