Ekoran perletakan jawatan Perdana Menteri dan Kabinetnya hari ini, Presiden AMANAH Mohamad Sabu menyeru semua ahli Pakatan Harapan (PH) agar kembali bersatu di bawah payung yang sama untuk melaksanakan sebaik mungkin mandat yang diberikan oleh oleh rakyat sebelum ini.
Beliau memberi peringatan bahawa demokrasi perlu dipulihkan kembali agar pandangan semua pihak diambil kira sama ada dari kumpulan pembangkang mahupun kerajaan.
Beliau berkata, keutamaan semua pihak ketika ini adalah untuk bekerjasama memulihkan kembali kesihatan dan ekonomi negara yang sangat parah.
“Poses semak dan imbang melalui institusi Parlimen mesti dihidupkan semula agar kerajaan baru yang didirikan sentiasa melaksanakan tanggungjawab sebaik-baiknya.
“Justeru, saya menyeru kepada semua rakan-rakan Ahli Parlimen yang menang di atas tiket Pakatan Harapan (HARAPAN) dalam pilihanraya yang lalu, kembali bersatu di bawah payung Pakatan Harapan agar mandat yang diberikan oleh oleh rakyat dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Apa yang telah berlaku sebelum ini biarkan ia berlalu dan kita cipta sejarah untuk bina semula negara tercinta ini,” katanya dalam satu kenyataan selepas Tan Sri Mahiaddin Md Yasin dilaporkan telah meletakkan jawatannya sebentar tadi.
Pada masa sama Mohamad berkata, dalam menghadapi situasi getir seperti ini, jiwa besar amat diperlukan kerana tidak ada yang benar-benar diharapkan oleh rakyat melainkan kesihatan dan ekonomi rakyat kembali pulih.
Jelasnya, apabila mandat rakyat dalam pilihanraya yang lalu dikembalikan dan institusi Parlimen dihidupkan, maka tidak ada sesiapa yang ketinggalan kerana peranan dan pandangan pembangkang akan turut diambil kira dalam menguruskan Malaysia untuk keluar daripada kemelut kesihatan akibat Covid-19.