Malaysia Dateline

Presiden AMANAH tegur Ismail kena berani kalau mahu kekal ke PRU15

Presiden AMANAH Mohamad Sabu meminta Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob agar jangan sesekali tunduk kepada ugutan atau dikawal oleh pihak tertentu.

Mohamad berkata, jika Ismail mahu kekal sehingga PRU15 beliau haruslah berani dan tegas dalam membuat keputusan.

Beliau yakin termeterainya MoU dengan Pakatan Harapan kedudukan Ismail Sabri tidak akan tumbang sehingga PRU15.

“Dia tidak akan tumbang sebagai Perdana Menteri sehingga PRU15 akan datang, dia kuat kerana persefahaman.

“Kenapa dia jadi takut sangat sampai hilang kelolaan kepada negara sekarang ini. Kita lihat peraturan PRN Melaka ini sampai sekarang kita tak tahu sebab apa peraturan dikeluarkan Menteri Kesihatan bukan daripada SPR.

“Yang mengendalikan pilihan raya adalah SPR bukan menteri, jadi kita nampak kelam kabut apa yang berlaku di Melaka. Kita pun terkial-kial ada atau tidak pilihan raya ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Bagaimanapun katanya PH akan terus bekerja dan memenuhi tanggungjawab menghadapi piihan raya di Melaka dengan SOP yang diarahkan.

Beliau berkata demikian ekoran SOP di PRN Melaka tidak konsistan di mana beliau diberitahu oleh Ismail bahawa ceramah di atas trak dibenarkan.

Malangnya kata beliau PKR yang membuat ceramah di atas trak pula dikenakan kompaun RM10,000 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Kerajaan hari ini tidak tahu peraturan dah,” kata beliau turut mempertikaikan ketegasan Ismail Sabri.