Malaysia Dateline

Presiden baharu Brazil kecualikan komuniti LGBTI daripada dasar hak asasi manusia

Presiden baharu Brazil Jair Bolsonaro telah menandatangani satu perintah eksekutif bagi membatalkan dasar-dasar yang bertujuan melindungi hak-hak golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender dan Interseks (LGBTI) di negara itu sebagai sebahagian daripada pendirian kerajaannya.

Kementerian Wanita, Keluarga dan Hak Asasi Manusia di bawah pentadbiran Bolsonaro tidak akan mempunyai mandat untuk melindungi komuniti LGBTI.

Perintah yang ditandatangani oleh Bolsonaro menyentuh mengenai “golongan wanita, kanak-kanak dan remaja, belia, warga emas, orang kurang upaya, penduduk Kulit Hitam, etnik minoriti dan sosial, serta orang India” sebagai komuniti yang termasuk dalam garis panduan hak asasi manusia.

Kementerian Wanita, Keluarga dan Hak Asasi Manusia yang baharu diterajui Menteri Damares Alves, seorang penganut Kristian evangelis.

Majlis Kebangsaan bagi Memerangi Diskriminasi akan diteruskan namun mengikut garis panduan kerajaan yang telah disebutkan.

Pada Disember, Brazil menyaksikan peningkatan dalam perkahwinan sejenis sebagai satu langkah penentangan terhadap Bolsonaro.

Ia juga didorong oleh perasaan takut akan kehilangan hak yang diperoleh secara sukar oleh komuniti LGBTI.

Bolsonaro telah secara terbuka dan umum menunjukkan sikap prejudis beliau terhadap golongan homoseksual pada beberapa acara.

Meskipun begitu, sebelum pelantikan beliau, Naib Presidennya Hamilton Mourao berkata kerajaan baharu tidak bercadang untuk menukar status perkahwinan sejenis.

Bagaimanapun, pengarah kepelbagaian seksual Majlis Peguam Brazil, Maria Berenice Dias, telah menasihati pasangan sejenis yang ingin berkahwin agar berbuat demikian sebelum akhir tahun “sebagai langkah berjaga-jaga.”

Ramai pengamal homoseksual berpendapat bahawa kesan segera kepresidenan Bolsonaro akan menyaksikan peningkatan dalam prejudis terhadap golongan itu yang retorik dan keganasan terhadap komuniti LGBTI.

— BERNAMA