Presiden Buhari ikrar bawa Nigeria ke peringkat seterusnya

Presiden Buhari ikrar bawa Nigeria ke peringkat seterusnya

Presiden Nigeria Muhammadu Buhari pada Rabu berkata beliau akan memberi tumpuan kepada usaha menggabungkan pencapaian untuk membawa negara itu ke “peringkat seterusnya” semasa penggal kedua beliau memegang jawatan, lapor agensi berita China Xinhua.

Terdahulu pada hari yang sama, badan pilihan raya Nigeria, Suruhanjaya Pilihan Raya Nasional Bebas (INEC) telah mengisytiharkan Buhari sebagai pemenang dalam pilihan raya presiden.

Buhari, dalam ucapan penerimaan berkata banyak bidang tumpuan, seperti yang dinyatakan dalam manual kempennya, akan dilibatkan dalam pelan beliau untuk Nigeria.

“Saya boleh memberi jaminan bahawa anda akan melihat sebuah negara yang bergerak ke peringkat seterusnya, apabila kami menggabungkan bidang-bidang asas untuk menjaga keselamatan negara, merancakkan semula ekonomi dan memerangi rasuah,” kata presiden berusia 76 tahun itu.

Buhari, calon parti All Progressives Congress (APC) yang memerintah, mendahului pengundian bagi pilihan raya presiden pada Sabtu lepas dengan meraih lebih 15 juta undi atau 55.6 peratus daripada jumlah undian, menurut Pengerusi INEC Mahmood Yakubu.

Di tempat kedua ialah Atiku Abubakar, calon parti utama pembangkang Parti Demokratik Rakyat (PDP), yang meraih lebih 11 juta undi atau 41.2 peratus.

Yakubu mengumumkan keputusan akhir di sini selepas penjumlahan undi selama tiga hari berakhir bagi pilihan raya yang berlangsung di 36 negeri, termasuk ibu kota Abuja.

Di Nigeria, calon dengan jumlah undi tertinggi akan diisytihar sebagai pemenang selagi mereka meraih sekurang-kurangnya 25 peratus undi di dua pertiga negeri dalam Nigeria.

— BERNAMA