Presiden Halimah Yacob jadi kebanggaan rakyat Tionghoa Singapura

Presiden Halimah Yacob jadi kebanggaan rakyat Tionghoa Singapura

Sikap ramah dan tulus Presiden Singapura, Halimah Yacob bergaul mesra dengan masyarakat setempat tanpa mengira bangsa, agama mahupun usia menjadi kekuatan kepada beliau untuk melaksanakan tugas baru selaku ketua negara.

Wanita pertama yang menggalas tanggung jawab selaku presiden negara republik itu bukan sahaja mampu menarik sokongan generasi muda, malah memikat hati golongan tua.

Ini terbukti apabila dua warga tua Tionghoa, Sim Goon Hua, 80 dan Lim Ah Kheoh, 82, sanggup berjalan kaki lebih 10 minit menuju ke ibu pejabat Persatuan Rakyat (PA) di King’s George Avenue pada hari penamaan calon semata-mata untuk melihat Halimah.

Namun Goon Hua dan Ah Kheoh terpaksa meninggalkan tempat itu sekitar sejam kemudian dengan rasa hampa kerana tidak dapat bertemu Halimah yang padat dengan jadual.

Bagaimanapun dua warga emas itu akhirnya dapat bertemu Halimah di Istana Presiden dalam satu majlis awam.

Goon Hua sempat membawa bersamanya kain disulam tulisan Mandarin dengan kata-kata ucapan “kebahagiaan, kejayaan dan keamanan” sebagai hadiah buat Halimah.

Keputusan Halimah untuk terus tinggal di rumah pangsa yang didiami sejak sekian lama menarik perhatian rakyat republik itu terutama jiran-jirannya.

Seorang pemilik kedai runcit, Lee Swee Seng berbangga kerana menjadi jiran Halimah.

Premis perniagaannya terletak berhampiran blok kediaman Halimah.

Beliau berasa bangga kerana Presiden Singapura itu terus tinggal di Yishun Avenue walaupun kini memegang jawatan tertinggi negara.

Sejak mengendalikan kedai runcit di sebuah kolong blok di Yishun Avenue 4, 17 tahun lalu, Halimah dan keluarga menjadi pelanggan tetap Swee Seng.

Kedai runcit Swee Seng, 53, menjadi tempat terdekat bagi ketua negara itu sekeluarga membeli barang dapur seperti roti dan sebagainya.

Ramai juga penduduk apartment berdekatan yang mahu melihat presiden mereka lebih dekat apatah lagi ketika Halimah pergi dan kembali daripada pejabat.

Seorang penduduk, Victor Soh tidak melepaskan peluang bergambar dengan kereta rasmi Halimah di tempat letak kereta khas di bawah blok presiden itu tinggal.

Penduduk tahu Presiden Halimah Yacob masih tinggal di flat keluarganya dan begitu ghairah untuk berkunjung ke blok berkenaan bagi melihat kelibat presiden kelapan Singapura itu.

Semasa Halimah pulang ke rumah pada tengah hari sebelum menghadiri upacara mengangkat sumpah presiden di Istana, beberapa orang awam yang sedang menunggu di bawah bloknya segera mengeluarkan telefon bimbit masing-masing untuk merakam gambar beliau.