Malaysia Dateline

Presiden Iran seru Umat Islam bangkit menentang tekanan AS

Presiden Iran, Dr Hassan Rouhani menekankan perlunya kerjasama di kalangan negara-negara Islam untuk menangkis tekanan kuasa besar, terutama Amerika Syarikat.

Dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Kuala Lumpur pada semalam, Dr Rouhani berkata, masalah yang dihadapi umat Islam termasuk sekatan terhadap Iran berpunca dari penguasaan kuasa besar tersebut.

“Adalah perlu bagi negara-negara Islam untuk bekerjasama untuk menentang tekanan kuasa besar.

“Banyak masalah yang dihadapi umat Islam adalah disebabkan gangguan Amerika Syarikat, termasuk sekatan terhadap Iran,” katanya seperti dipetik Press TV.

Rouhani, yang berada di Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, mengkritik Amerika Syarikat yang mengenakan ‘sekatan unilateral dan kejam’ terhadap Iran.

Sementara itu, Rouhani turut menekankan keperluan Tehran dan Kuala Lumpur untuk meningkatkan hubungan di sektor yang berlainan, termasuk sains, teknologi, industri, pelancongan, teknologi maklumat dan perubatan.

Dalam pada itu, Dr Mahathir memberi jaminan untuk meningkatkan kerjasama perdagangan dengan Iran.

“Kami akan meneruskan hubungan perdagangan dan ekonomi kami dengan Iran,” katanya .

Secara berasingan pada hari itu juga, Rouhani turut mengadakan perbincangan dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang membincangkan lebih lanjut mengenai hubungan di sektor yang berlainan, terutama kerjasama ekonomi dan budaya.

Rouhani memberitahu bahawa kunci untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi umat Islam adalah perpaduan dan kerjasama.

Beliau menambah bahawa isu Palestin, campurtangan kuasa besar dalam hal ehwal domestik negara Islam dan keperluan untuk mempromosikan kemajuan saintifik dan ekonomi adalah antara isu-isu yang paling penting yang perlu ditangani.

Yang di-Pertuan Agong juga mengalu-alukan penyertaan presiden Iran dalam Sidang Kemuncak Kuala Lumpur, dengan menyatakan harapan bahawa acara itu akan menghasilkan hasil yang memuaskan.