Presiden Korea Selatan tekad kukuhkan kerjasama dengan ASEAN

Presiden Korea Selatan tekad kukuhkan kerjasama dengan ASEAN

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in mengulangi tekadnya untuk terus memperkukuhkan hubungan dengan ASEAN, lapor agensi berita Vietnam (VNA).

Beliau berkata Korea Selatan dan negara ASEAN akan terus memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi, teknologi maklumat dan komunikasi, pengangkutan, tenaga dan industri pertahanan .

“Langkah itu bertujuan untuk meneruskan masa depan gemilang dan aman damai,” katanya dalam artikel yang ditulis menjelang lawatannya ke Brunei, Kemboja dan Malaysia minggu depan, diterbitkan Asia News Network pada Rabu.

Mengenai Dasar Selatan beliau berkata ia adalah satu inisiatif dasar asing baharu dan penting dilancarkan bertujuan memperluas kerjasama diplomatik dan ekonomi antara Korea Selatan dengan negara Asia.

Beliau percaya hubungan antara Korea Selatan dan ASEAN terus kukuh seiring dengan sambutan ulang tahun ke-30 jalinan hubungan antara kedua-dua pihak, tahun ini.

Moon dijadual berlepas dari Korea Selatan pada 10 Mac.

Antara objektif lawatan itu untuk mengintai peluang meningkatkan perdagangan dengan negara ASEAN dari US$160 bilion pada 2018 kepada US$200 bilion pada 2020.

Tahun lepas, bilangan pelawat yang melancong antara negara ASEAN dan Korea Selatan melebihi 10 juta.

ASEAN terdiri Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

— BERNAMA