Presiden MCA diminta berfikir sebelum tegur Perdana Menteri

Presiden MCA diminta berfikir sebelum tegur Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Wee Kia Siong

Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini diminta untuk fikir sebelum berkata dalam teguran beliau kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar berhenti berbalah dengan negara besar.

Pemikir AMANAH Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, seharusnya Wee melihat perbalahan yang disuarakan oleh Perdana Menteri itu bertepatan atau tidak.

Menurutnya lagi, Wee tidak harus memikir dengan emosi perbezaan parti sehingga menghilangkan rasa waras yang ada pada diri seorang manusia.

Dr Mohd Zuhan Mohd Zain

“Beliau (Wee) jangan jadi naif kerana Tun (Dr Mahathir) bukan berkata ada atas prinsip yang salah dan harus diingat apa yang Tun balahkan adalah isu berkenaan dengan penindasan.

“Kalau dilihat negara-negara besar hari ini seolah-olah menjadi pembuli dan sesuka hati menidakkan soal hak asasi manusia dengan menyekat, mendera, menyerang dan ada yang membunuh sesuka hati mereka.

“Apa yang dilakukan Tun adalah sebagai respon untuk menyatakan pendirian negara kita yang menolak sebarang unsur keganasan serta penindasan. Wee harus maklum terlebih dahulu berkenaan perkara itu,” tegasnya ketika dihubungi.

Dalam pada masa yang sama, beliau turut menyatakan tindakan Wee itu seolah-olah membelakangkan nasib umat Islam di negara yang ditindas oleh kuasa besar.

Katanya lagi, MCA dilihat sebagai parti yang tidak mengamalkan keadilan dalam memikirkan soal kaum dan agama yang berbeza dengan mereka.

“Dalam kenyataan itu, Wee menegur Tun kerana bertindak mengkritik negara India yang disifatkan sebagai menafikan kewarganegaraan kepada sesetengah umat Islam. Jelas di situ tindakan Tun itu bernas dan diskriminasi atau pilih bulu ini bukan sifat keadilan.

“Isu seperti Tun lantang menyuarakan berkenaan dengan Palestin, MCA dilihat gagal membela Tun sebagai wakil Malaysia yang membawa pendirian rakyat Malaysia sehingga beliau dikagumi negara-negara luar.

“Apa yang Tun suarakan adalah bertepatan dengan dasar keadilan. Wee selaku presiden MCA tidak seharusnya emosi dalam soal ini dan hanya mengkritik tanpa memikir secara rasional.

“MCA seharusnya tidak perlu mementingkan diri sendiri sehingga melupakan soal keadilan kepada semua bangsa dan agama di dunia ini. Tun tidak berbalah dengan negara besar ini dengan sesuka hati, tanpa sebab atau membuta tuli,” tegasnya lagi.