Malaysia Dateline

Presiden MCA perlu belajar jadi pembangkang

Adun Perling, Cheo Yee How hari ini menyarankan Presiden MCA Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong untuk belajar menjadi pembangkang dalam menerima segala dasar yang baik untuk rakyat di negara ini.

Cheo ketika dihubungi berkata, tindakan Wee yang dilihat berkeras dalam mempertahankan hujahnya berkenaan dengan kebaikkan program Peduli Sihat dan MySalam yang dibuat oleh kerajaan mencerminkan diri beliau sebagai pemimpin yang tidak matang.

Katanya, Wee seharusnya membantu rakyat di Ayer Hitam seperti hujahnya sebelum ini dengan mempermudahkan urusan rakyat di sana bukan menjatuhkan hukuman bahawa skim dan program kerajaan itu tidak baik untuk rakyat.

“Wee yang tinggal di Johor ini harus melihat pelbagai perkara yang baik telah dilakukan oleh kerajaan negeri di sini dan khusus untuk golongan B40 seperti dakwaan beliau.

“Beliau mungkin tidak mahu maklum berkenaan dengan usaha kerajaan negeri teurtamanya yang banyak membantu golongan berkenaan.

“Bukan sahaja Kad Peduli Sihat dan MySalam malah pelbagai lagi insiatif yang kerajaan berikan kepada golongan tersebut seperti RMB Johor,” tegasnya.

Beliau turut menyuarakan pandangan berkenaan dengan birokrasi yang didakwa Ahli Parlimen Ayer Hitam itu berlaku sewaktu proses permohonan program dan skim tersebut.

“Saya rasa Wee baru kenal erti birokrasi. Di zaman pemerintahan BN pun wujud birokrasi dan kita sebagai Adun akan berusaha untuk membantu rakyat sehingga siap atau sempurna bukan sekadar hanya mendengar keluhan.

“Permasalahan rakyat kita perlu selesaikan dan jangan hanya lagak mahu jadi hero memekik tanpa membantu rakyat di kawasan Ayer Hitam,” tegasnya.

Cheo turut berpendapat agar Wee mengambil langkah yang lebih proaktif mewujudkan pasukan khas menangani permasalahan birokrasi untuk memudahkan kerjanya.

“Saya harap Wee mampu belajar hidup menyelesaikan permasalahan bukan dengan hanya bersuara bising tanpa sebarang tindakan membantu rakyat.

“Tubuhlah pasukan untuk menyelesaikan masalah rakyat atau wujudkan kelas tambahan kepada kakitangan MCA di Ayer Hitam untuk belajar cara isi ‘form’ dalam talian dan itu lebih memudahkan,” tegasnya lagi.

Sebelum ini wujud perbalahan berkenaan dengan isu Peduli Sihat dan MySalam antara Tony Pua dan Wee Ka Siong di laman berita nasional.