Presiden Parti Warisan Sabah, Shafie Apdal ditahan SPRM

Mohd Shafie Apdal

Bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana pembangunan luar bandar Sabah yang dianggarkan bernilai RM1.5 bilion.

Mohd Shafie,60, ditahan kira-kira 9 malam tadi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

Sebelum itu, Anggota Parlimen Semporna berkenaan tiba di pejabat SPRM di sini kira-kira 5.15 petang selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dari Kuala Lumpur pada kira-kira 3.30 petang.

Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Bernama mengesahkan penahanan Mohd Shafie tetapi enggan mengulas lanjut.

Mohd Shafie dijangka dibawa ke mahkamah pagi ini bagi permohonan tahanan reman.

Sementara itu, seorang jurutera awam yang juga perunding sebuah syarikat, Amarjit Singh turut ditahan SPRM pada kira-kira 2.45 petang semalam di pejabat SPRM Sabah, lapor Bernama.

Amarjit , 47, ditahan ketika hadir di pejabat agensi itu untuk memberi keterangan berhubung penyelewengan dana berkenaan.

Dengan penahanan Mohd Shafie yang juga presiden Parti Warisan Sabah dan jurutera berkenaan, jumlah individu yang ditahan SPRM bagi membantu siasatan isu dana di Sabah kini berjumlah 11 orang.

Dua daripada 11 individu berkenaan ialah adik kepada Mohd Shafie iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Yusof Apdal dan Hamid Apdal.

Daripada jumlah itu, sembilan daripadanya telah direman dengan lapan daripadanya telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

7.0
OVERALL SCORE
: 7.0
Have no any user vote
CATEGORIES
TAGS