Malaysia Dateline

Presiden Pas anggap hakim berbangsa Inggeris ‘sangat berhati-hati’ bukan seperti kini

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat hakim pada masa ini hilang sensitiviti agama berbeza dengan hakim berbangsa Inggeris yang ‘sangat berhati-hati’ dalam membuat beberapa keputusan mahkamah.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu berkata, terdapat hakim sekarang yang membuat pertimbangan hanya bersandarkan di atas kertas bukannya menggunakan budi bicara.

“Malangnya terdapat dalam kalangan para hakim yang baru, hilang sensitiviti agama. Mereka membuat keputusan berasaskan buku yang dibaca, bukan mengikut pertimbangan akal yang mempunyai budi bicaranya.

“Apa yang menarik, penjajah British sendiri pada zaman penjajahan sangat berhati-hati agar tidak menyentuh sebarang sensitiviti penganut Islam, sehingga mereka meletakkan kuasa Islam kepada raja-raja,” katanya sebentar tadi.

Sedutan dari artikel panjang oleh Ahli Parlimen Marang menerusi Minda Presiden itu susulan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari lalu mengetepikan undang-undang syariah Selangor yang menetapkan seks luar tabii sebagai jenayah.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, sikap berhati-hati kolonial itu masih ada walaupun mereka menyembunyikan pentafsiran perkataan agama mengikut kehendak mereka dengan makna yang sempit, merampas kuasa politik dan pentadbiran secara tersembunyi tanpa difahami rakyat.

“Bahkan beberapa keputusan mahkamah oleh para hakim berbangsa Inggeris dibuat dengan sangat berhati-hati.

“Malangnya, ada dalam kalangan Melayu-Islam yang tiada dalam hatinya kepekaan terhadap Islam, walaupun telah mendapat kemerdekaan lebih setengah abad.

“Malangnya lagi, terdapat juga kalangan mereka yang menonjolkan diri berwajah Inggeris lebih daripada bangsa Inggeris sendiri,” tegasnya.

Beliau bahkan membandingkan kalangan hakim sekarang dengan angkatan para hakim sebelum ini yang dianggap benar-benar arif dan amat arif dalam membuat keputusan berdasarkan budi bicara kerana masih mempunyai sensitiviti agama dalam diri masing-masing.

Menurutnya, mereka terbabit adalah Tun Salleh Abbas, Tan Sri Harun Hashim dan Tun Hamid serta ilmuwan seperti Prof. Ahmad Ibrahim, Datuk Nik Abdul Rashid, Aminuddin Baki dan tokoh-tokoh lain.

Abdul Hadi selanjutnya menyifatkan keputusan mahkamah yang berani mencabar terhadap Enakmen Jenayah Syariah Selangor itu sebagai laksana batu besar yang dihempas ke dalam lubuk yang tenang.

“Disangka tiada lagi saki-baki buaya belaan penjajah British di dalamnya, namun tiba-tiba buaya itu mendongakkan kepalanya.

“Mereka muncul atas pelbagai nama media, NGO dan individu sehingga umat Islam dapat mengenali secara dekat siapa wajah mereka yang sebenarnya,” bidasnya.

Sehubungan itu, bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal berkenaan mengingatkan bahawa terpulang kepada diri masing-masing, sama ada ingin “menepuk dada tanya iman atau tepuk dada tanya selera makan”.