Malaysia Dateline

Presiden Pas anggap PH gagal tebuk atap jatuhkan kerajaan PN

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan Pakatan Harapan (PH) gagal menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui cara tebuk atap.

Ahli Parlimen Marang itu juga berpendapat pihak pembangkang berterusan bermain politik ketika rakyat berdepan impak Covid-19.

“Tanpa diragukan lagi bahawa kabinet baharu pimpinan YAB Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob adalah kesinambungan daripada tugas yang telah dilaksanakan oleh barisan kabinet kerajaan PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Kerajaan PN gagal dijatuhkan melalui cara tebuk atap oleh PH dan gerombolannya yang terus-menerus berpolitiking ketika rakyat berada dalam kecemasan bagi menghadapi pandemik Covid-19 dan kesannya terhadap kehidupan mereka,” katanya.

Hadi dipetik berkata demikian menerusi artikelnya, Minda Presiden Pas bertajuk, “Selamat bertugas Kabinet baru: Tekun dan beristiqamah” yang dikongsikan di Facebook rasminya hari ini.

Untuk rekod, Mahiaddin Yassin sebelum ini telah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri apabila 15 Ahli Parlimen Umno menarik sokongan terhadapnya.

Selanjutnya, Hadi menegaskan usah dipedulikan tuduhan bahawa kerajaan PN telah gagal mengatasi pandemik Covid-19.

Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu bahkan menganggap kerajaan PN menunaikan janji jauh berbeza sama sekali dengan kerajaan PH.

Dalam masa sama, Hadi turut menuduh PH mengalami “wabak politiking berebut jawatan Perdana Menteri”.

“Hal ini demikian kerana, kemampuan kita sekadar berikhtiar untuk mengatasi masalah rakyat yang sudah menunjukkan tanda-tanda positif yang memberangsangkan.

“Apa yang telah dilakukan oleh kerajaan PN sama sekali berbeza daripada kerajaan PH yang tidak menunaikan janji yang mampu ditunaikan oleh mereka. Lebih-lebih lagi, ketika belum berlaku penularan pandemik Covid-19.

“Akan tetapi, wabak pandemik yang dihadapi oleh PH ialah wabak politiking berebut jawatan Perdana Menteri. Sehinggakan jawatan tersebut terpaksa ditinggalkan oleh pemimpinnya, bukan sahaja oleh ahli biasa,” kata Hadi lagi.