Presiden Pas berkhayal dakwa DAP robek perlembagaan, bidas Dr Aziz Bari

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang disifatkan sebagai berkhayal apabila menuduh DAP mahu ‘merobek’ kata aktivis DAP yang juga pakar undang-undang perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari (foto).

Abdul Aziz menegaskan, tidak wujud sebarang usaha DAP untuk menjejaskan Perlembagaan dan melemahkan kedudukan agama Islam serta Raja-Raja sebagai ketua agama Islam.

“Nampaknya itu hanyalah igauan atau khayalan bekas ahli parlimen Marang dan Umno yang sentiasa bercakap mengenai apa yang mereka dakwa usaha DAP untuk mengkristiankan Malaysia dan memansuhkan kedudukan Islam.

“Sebagaimana yang tertera dalam Buku Jingga 2013 dan manifesto PH 2018, DAP komited untuk mempertahan dan mendaulatkan perlembagaan dan segala isi kandungannya.

“Ini merangkumi kedudukan Raja-Raja, Islam, bahasa Melayu, kedudukan istimewa Melayu- bumiputera dan seterusnya,” kata bekas profesor di Kuliyyah Undang-undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu.

Abdul Aziz yang juga bakal calon DAP bagi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tebing Tinggi, Perak diminta mengulas kenyataan Hadi yang dilapor media mendakwa kononnya wujud agenda DAP untuk merobek perlembagaan dengan mengaitkan sepucuk surat seorang paderi yang menyeru penganut Kristian melakukan perubahan pada pilihan raya umum (PRU) ini.

“Apa yang jelas ialah paderi berkenaan, sebagaimana rakyat Malaysia lain yang prihatin dengan masa depan negara, ialah membuat perubahan ke arah yang lebih baik khususnya menolak rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sinonim dengan Umno-BN,” katanya dipetik Roketkini.

Abdul Hadi yang juga bekas Ahli Parlimen Marang, ujar Abdul Aziz sepatutnya bersama dengan gerakan massa yang disokong rakyat dan bukan melakukan sesuatu yang memberi laluan dan talian hayat kepada Umno-BN.

CATEGORIES
TAGS