Presiden Pas berpantun ‘sampai ke kubur’ di pentas BN

Presiden Pas berpantun ‘sampai ke kubur’ di pentas BN

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya muncul di pentas Ceramah Perdana BN di Rantau malam tadi dengan menyampaikan beberapa rangkap pantun sindiran kepada Pakatan Harapan (PH).

Kemunculan pemimpin yang didakwa membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown agar kes saman berkaitan dana RM90 juta diselesaikan di luar mahkamah itu dilihat mendapat sambutan hangat ribuan penyokong Umno-Pas.

Abdul Hadi mengambil alih pentas ceramah di Taman Angsamas itu selepas selesai giliran calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Rantau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Disaksikan lebih 5,000 hadirin di tapak pasar malam dekat Jalan Gunung Datok 8 itu, Abdul Hadi berpantun:

“Buah salak buah kedondong
Dipungut kumpul dalam baldi
Bukan salah ibu mengandung
Silap kerana pangkah undi.”

Ribuan penyokong Pas-BN mendengar ceramah Datuk Seri Abdul Hadi Awang (kiri)  di Taman Angsamas ,Rantau malam tadi.

Melihatkan hadirin spontan bertepuk tangan dan bersorak ketawa, Ahli Parlimen Marang, Terengganu itu berkata, “Banyak lagi pantun (yang boleh dibaca). Pantun banyak lagi,” ujarnya.

Dikawal ketat petugas parti Unit Amal termasuk seorang anggota yang berdiri di belakang Abdul Hadi, suara orang ramai yang dilihat terhibur menggalakkannya untuk terus berpantun.

“Pantun satu lagi,” pekik antara khalayak yang hadir.

Abdul Hadi dengan senyum lebar melihatkan sambutan hangat audiens itu kemudiannya menganggap reaksi penyokong di Dun Rantau sebagai luar biasa.

Beliau turut mengulang pendirian Pas untuk memenangkan Mohamad yang dipanggilnya sebagai ‘Datuk Mat’.

“Alhamdulillah. Sambutan sangat baik di luar dugaan saya.

“Kami (Pas) bekerja keras untuk menangkan Datuk Mat ini,” katanya sekali lagi disambut tepukan gemuruh penyokong dari kedua-dua parti pembangkang tersebut.

Bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu juga sempat menyindir sikap pemimpin PH tertentu yang tampil mengikut kaum dan majlis yang ditemui termasuk mengenakan pakaian tradisi India apabila bertemu masyarakat itu.

“Tempat kuliah Maghrib, pakai baju kuliah Maghrib. Tempat menari, (dia) menari,” sinisnya serentak disambut gema tawa hadirin.

Abdul Hadi kemudiannya menyambung, “Ucapan ini tiada kena-mengena dengan orang yang hidup atau pun sudah mati”.

Sejurus mengingatkan pengundi Rantau supaya memilih calon yang berwibawa, berkemampuan dan berkebolehan merujuk kepada Mohamad, beliau kembali membacakan pantun pada sehelai kertas yang dipegangnya.

“Sila mengundi dengan cermat,
Kalau rosak nanti gugur
Pilihan kami Datuk Mat
Hebat menasihat cekap menegur

“Kalau rosak jadi gugur
Pendiriannya tidak tegap
Bila yang hebat dapat menegur
Jangan memilih cakapnya gagap

“Pendirian pula tidak tegap
Semua dibawa jatuh bertabur
Kalau pilih hujah yang gagap
Nanti menyesal sampai ke kubur.”