Presiden Pas dakwa PH gagal kuasai undi Islam

Presiden Pas dakwa PH gagal kuasai undi Islam

Kali pertama bersiaran langsung menerusi televisyen selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), Presiden Pas mendakwa Pakatan Harapan (PH) gagal memenangi hati pengundi Melayu Islam.

Bahkan, kemenangan PH bagi Datuk Seri Abdul Hadi Awang dianggap tidak seimbang apabila membandingkan kerusi Parlimen yang dimenangi mengikut penganut agama.

“Kita perlu menyedari bahawa politik demografi di Malaysia ini sangat penting. Siapa yang menguasai undi majoriti umat Islam, dia yang menguasai negara dengan cara sepenuhnya.

“Itu yang ada pada Umno dulu. Sekarang telah berubah tetapi PH tidak dapat menguasai teras kuasa politik negara (iaitu) umat Islam dengan mencapai 58 kerusi sahaja dan yang bukan Islam mencapai 60 kerusi, tidak silap saya.

“Ini sudah menjadi hal tidak seimbang, menjadi tanggungjawab untuk mencari penyelesaian,” tegasnya ketika ditemubual perantara Nazri Kahar di Astro Awani semalam.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang berkenaan berpendapat kedudukan majoriti umat Islam harus diambil kira dalam penyusunan Kabinet.

“Perlu diambil kira demografi penduduk untuk menjaga ketenteraman seluruhnya dengan tidak menafikan bukan Islam,” katanya.

Ditanya tentang situasi mutakhir yang menyaksikan Pas meninggalkan kekuatan di pantai barat Semenanjung meskipun telah direntas sejak Pilihan Raya Umum 1999, Abdul Hadi dilihat gagal menjawab soalan.

Formula Pas pasca PRU-14, ujarnya, adalah membuka kerjasama dengan parti-parti lain yang tidak menyertai kerajaan termasuklah badan bukan kerajaan (NGO).

Abdul Hadi juga mengulangi pentingnya menguasai pengundi Melayu Islam yang dianggapnya sebagai undi teras selain mendakwa pengundi pada PRU-14 terpengaruh dengan faktor 3M.

“Kita melihat yang menguasai pilihan raya di Malaysia ini bergantung 3M – ‘money, media, machinery’ – tanpa mengira benar dan salah, tanpa mengira baik dan buruk.

“Ini yang menguasai rakyat dalam pilihan raya di Malaysia. Kita perlu menguasai undi teras, (tetapi) kita tidak boleh menafikan tentang kedudukan orang bukan Islam,” ujarnya lagi.

Walaupun, Pas kekal di Kelantan dan menawan kembali Terengganu, parti yang sebelum PRU-14 mendakwa sebagai ‘king maker’ itu kalah teruk di pantai barat Semenanjung.

Di Selangor, Pas hanya menang satu daripada 47 Dun yang ditandingi iaitu di Sijangkang berbanding 15 kerusi Dun pada PRU-13.

Sementara itu, Pas di Johor hanya menang di Dun Bukit Pasir dengan majoriti 1,883 undi dalam pertandingan dua penjuru dengan BN berbeza empat kerusi Dun yang dimenangi pada PRU 2013. Malah, 45 calon Pas Johor hilang deposit di kerusi Parlimen dan Dun.

Parti yang berpatah arang, berkerat rotan dengan PH itu juga langsung tidak menang satu kerusi Dun pun di Melaka, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak.

Secara keseluruhan, Pas pada PRU-14 hanya menang 11 peratus iaitu 18 daripada 157 kerusi Parlimen yang ditandingi berbanding 22 kerusi Parlimen pada PRU-13.

Bagi 396 kerusi Dun yang ditandingi pada 9 Mei lalu, Pas cuma menang 23 peratus iaitu 90 kerusi Dun berbanding 85 Dun yang diperolehnya pada PRU 2013.

Walau bagaimanapun, rekod Pas itu lebih rendah berbanding AMANAH yang menguasai 32 peratus iaitu 11 daripada 34 kerusi Parlimen.

AMANAH yang merupakan antara komponen PH juga meraih 31 peratus kerusi Dun apabila menang 34 daripada 119 kerusi Dun yang ditandingi.

9.0
OVERALL SCORE
: 8.0
1 user vote x 10.0