Presiden Pas hadir Parlimen dengan liputan siaran langsung

Abdul Hadi satu-satunya ahli parlimen daripada 222 wakil di Dewan Rakyat yang hadir ke Parlimen dengan liputan siaran langsung.

Selepas tular Ahli Parlimen Marang tidak hadir pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 kelmarin, kedatangan Datuk Seri Abdul Hadi Awang ke Parlimen pada hari kedua lengkap mendapat liputan siaran langsung melalui media sosial.

Tidak pernah dibuat oleh mana-mana parti sebelum ini, hanya Pas bertindak melakukan siaran langsung ketibaan presiden mereka itu ke Parlimen pagi semalam.

Siaran langsung selama tujuh minit melalui Facebook rasmi Abdul Hadi itu dimulakan dengan paparan air pancut di hadapan bangunan Parlimen bersama suara latar yang memaklumkan pemimpin tersebut akan tiba sebentar lagi.

Walau bagaimanapun, hanya selepas tiga minit menyaksikan air pancut itu, Abdul Hadi tiba sebelum disambut pengiring dan dibukakan pintu kereta yang dinaikinya.

Siaran langsung yang turut dikongsi di laman rasmi FB Pas itu kemudiannya menyaksikan Abdul Hadi yang berserban dan berbaju Melayu lengkap hijau tua sedang menunggu dan menaiki lif.

Beliau yang sebelum ini kerap tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat dengan alasan kesihatan dilihat berjalan dengan agak pantas menuju ke dewan persidangan sambil berbual serius dengan pengiringnya.

Di belakangnya pula, terdapat tiga lagi pengiring atau pengawal kepada bekas Menteri Besar Terengganu selama sepenggal itu.

Siaran langsung tersebut juga menayangkan sehingga sehingga sosok Abdul Hadi tidak lagi kelihatan selepas melangkah masuk ke dalam dewan dengan rakaman video terus diambil ketika pintu dewan beransur-ansur tertutup.

Kelmarin, Abdul Hadi tidak hadir pada istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 yang dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Gambar tempat duduknya yang kosong pada 5 Mac lalu itu kemudiannya tular di media sosial sehingga menerima kecaman dan sindiran orang ramai ekoran rekod kekerapannya yang tidak hadir ke sidang Dewan Rakyat.

Mesyuarat Pertama Penggal Keenam Parlimen Ke-13 hingga 5 April depan merupakan sidang terakhir sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

 

3.8
OVERALL SCORE
4 user votes x 4.8
CATEGORIES