Malaysia Dateline

Presiden Pas, jangan nyalakan api sentimen perkauman, tarik sokongan di Sarawak

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ditegur jangan menyalakan api sentimen perkauman untuk menarik sokongan di Sarawak.

Pengarah Hal Ehwal Syariah Amanah Nasional, Zolkharnain Abidin berkata, Presiden Pas tidak wajar mengeluarkan ucapan yang mengandungi unsur-unsur yang berpotensi untuk menyalakan api sentimen perkauman di negara ini.

Beliau berkata, rakyat Sabah dan Sarawak hidup aman damai dalam pelbagai kaum dan agama semenjak sekian lama.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan di portal Malaysiakini di mana Presiden Pas berkata ” biar Melayu yang menguasai Sarawak ini… kita tidak (mahu) halau orang Cina, tidak! Tapi jangan (kita biarkan) orang Cina (DAP) menguasai Sarawak ini”.

Ucapan itu dipetik daripada laporan portal rasmi Pas, Harakahdaily.

Tegasnya, hubungan antara pelbagai kaum dan etnik di kedua-dua negeri itu berlangsung dengan harmoni misalnya, Gereja The Good Shepherd di Lutong Sarawak hanya berjarak sekitar 100 meter sahaja dengan Masjid al-Naim.

Bukan itu sahaja katanya, pada hari Jumaat, pengurusan gereja membuka kawasan parkir untuk orang Islam dan pada hari Ahad pula, pengurusan masjid membuka kawasan parkir untuk penganut Kristian.

“Mereka berbeza agama, tetapi berkongsi kemudahan untuk keharmonian.

“Rakyat Sabah dan Sarawak walaupun berlainan agama berkongsi pasar, rumah panjang dan perigi. YADIM sendiri dengan kerjasama pelbagai NGO ada membina sebuah perigi yang dikongsi oleh penganut Islam dan Kristian di sebuah penempatan rumah panjang di Sarawak,” katanya yang juga Timbalan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, Perdana Menteri pertama Malaysia, katanya telah memperkenalkan konsep “Muhibah” dalam memupuk keharmonian hidup antara rakyat pelbagai kaum dan agama.

Konsep ini, menurutnya dihayati oleh masyarakat di kedua-dua negeri itu sehingga kini.

“Justeru, Presiden Pas tidak wajar bermain dengan api sentimen perkauman khususnya untuk masyarakat Sabah dan Sarawak. Permainan sentimen itu sangat bahaya. Jika ia menyala, tiada sesiapa pun yang untung. Semuanya hangus terbakar.

“Ambillah iktibar daripada pelbagai negara yang musnah angkara peperangan saudara yang berlaku. Negara itu hancur. Rakyatnya menderita sangat panjang, generasi demi generasi,” katanya.

Zolkharnain turut mengingatkan tiada mana-mana pihak yang menang kerana semua pihak terpaksa menanggung derita kekalahan akibat kemusnahan.

Ini kerana katanya, membangunkan kembali kemusnahan itu mengambil masa yang sangat lama dan jumlah dana yang sangat banyak.

“Bahkan tidak salah untuk dikata, membangunkan kembali negara yang musnah kerana persengketaan sesama rakyat adalah sesuatu yang mustahil kecuali bersama keajaiban.

“Kepada Presiden Pas, saya sarankan, berpolitiklah dengan rasional. Jangan kerana kepentingan politik kuasa Pas, negara ini berdepan dengan ketegangan kaum yang membawa kehancuran,” tegas beliau.