Presiden Pas junjung kasih, MP Pas anggap PKR berjiwa besar

Presiden Pas junjung kasih, MP Pas anggap PKR berjiwa besar

Pas menjunjung kasih perkenan diberikan Sultan Selangor untuk mengekalkan tiga Exco parti itu dalam kerajaan negeri sehingga tarikh pilihan raya umum akan datang dan yakin 13 ahli dewan undangan negeri (Adun) parti itu akan meneruskan amanah menjaga kestabilan negeri dan berkhidmat untuk rakyat.

Dalam satu kenyataan media semalam, presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) setelah menjalani pembedahan pintasan koronori menyanjung tinggi perkenan Sultan Selangor itu.

“Sesungguhnya limpah perkenan DYMM Tuanku amat disanjung tinggi untuk memastikan kestabilan pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor demi menjaga kebajikan dan kemakmuran rakyat.

“Patik sepenuhnya meyakini bahawa ketiga-tiga ahli MMKN Selangor dan 10 orang Adun daripada Pas tidak pernah luntur semangat untuk menjunjung kepercayaan DYMM Tuanku dan meneruskan amanah bagi menjaga kestabilan Kerajaan Negeri Selangor dan berkhidmat untuk rakyat dengan adil dan saksama,” ujar Abdul Hadi.

Mengulas isu yang sama, ahli parlimen Pas Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mengucapkan tahniah dan syabas kepada PKR kerana  memberi mandat kepada Datuk Seri Azmin Ali selaku menteri besar Selangor untuk mengekalkan 3 Exco kerajaan negeri dari Pas.

“Keputusan PKR membuktikan jiwa besar pimpinan PKR terhadap Pas dan tetap menerima Pas walaupun dituduh menentang agenda Islam yang diperjuangkan oleh Pas selama ini,”katanya.

Keputusan itu juga, tambah beliau secara tidak langsung membina persepsi bahawa PKR adalah parti yang lebih mementingkan rakyat dan negeri Selangor serta jauh dari dilihat sebagai ‘kaki gaduh’ yang sesuka hati memecat serta memutuskan hubungan dengan pihak dan parti yang tidak sehaluan.

“PKR dilihat terbuka menerima Pas yang sebelum ini  mengisytihar PKR sebagai musuh yang akan ditentang pada PRU14 nanti,” katanya.
Menurut Mahfuz, umum mengetahui yang memutuskan hubungan kerjasama politik adalah Pas manakala yang mendapat keuntungan politik ialah PKR.

“Tahniah PKR dan syabas YAB Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Besar Selangor atas kebijaksanaan berpolitik,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)