Malaysia Dateline

Presiden Pas kena kecam di tahun baharu Hijrah

Menulis panjang artikel bertajuk, ‘Tamadun Islam bersama Hijrah’, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang turut mengundang kecaman orang ramai.

Walaupun deretan penyokong Pas meninggalkan komen yang memuji bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal itu, reaksi berbaur sindiran juga kelihatan di ruangan komentar Facebook rasmi Hadi.

Ada yang ‘rindu’ dengan pendapat Ahli Parlimen Marang itu berkenaan situasi politik semasa ekoran sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang semakin merudum.

“Lama dah tak dengar cakap tentang politik dan agama sejak jadi orang kuat PN. Dulu itu berdosa, ini haram. Pakai baju kuning berarak di KL.

“Jawatan dan wang tak kenal alim ke jahil ia tetap berlaku,” luah Ab Manaf Dollah.

Untuk rekod, Hadi dikatakan memperoleh pendapatan rasmi berjumlah tidak kurang RM63,727.20 sebulan susulan dilantik sebagai Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf menteri berkuatkuasa serta-merta pada 1 April tahun lalu.

Cermin diri

Sementara itu, pengguna Facebook Razlan Rashid berpendapat sejarah kejatuhan semua empayar kerajaan termasuk Firaun berlaku kerana kelemahan pemerintahan kerajaan.

“Jadi, jangan salahkan rakyat bila pemimpin gagal memimpin. Cermin diri,” tegasnya mengulas artikel bagi segmen Minda Presiden Pas itu.

Terdahulu, Hadi menulis antara lain, “Kita sedang menyaksikan tamadun Barat sedang membakar diri sendiri kerana melakukan perkara yang melawan fitrah manusia.”

Katanya, negara Islam yang terpengaruh dengan tamadun Barat pula kaya dari sudut harta tetapi miskin dari sudut rohnya dan imannya juga turut terbakar.

“Maka, penyelamat daripada keadaan tersebut ialah kembali semula kepada Islam,” kata Hadi.

Bagi pengguna Facebook Kamarul pula, beliau mempersoal ‘hijrah’ Pas pada sidang Parlimen bulan depan.

“Apabila kiblat hijrah ialah kuasa dunia, hijrah bersama DAP berpeluk-peluk dengan Lim Kit Siang.

“Hijrah bersama Umno ‘comolot’ dengan Najib. Hijrah bersama PH (Pakatan Harapan) sembah ‘tok saka’ setiap hari.

“Sekarang hijrah bersama Yideng dok jilat setiap hari. Bulan September ni hijrah bersama siapa pula?” tempelaknya.

Untuk rekod, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin yang juga Pengerusi PN sehingga semalam hanya disokong 100 Ahli Parlimen manakala seramai 120 kerusi Dewan Rakyat lagi mendukung pembangkang.

Syiar Islam

Tidak kurang juga warganet yang menyindir sikap Pas sejak berada dalam kerajaan PN susulan Langkah Sheraton lebih setahun lalu apabila pelbagai isu berkaitan kepentingan Islam yang garang diperjuangkan ketika PH memerintah kini sudah lama ‘sepi’.

“Bila boleh Solat Jumaat ni Tuan Guru? Ke mana hilangnya singa-singa Pas? Adakah hanya takbir sahaja?

“Islam sedang dipijak di bumi kita. Solat jemaah syiar, sembelih binatang masa Raya Haji syiar, banyak syiar Islam dah tidak boleh di Malaysia.

“Dulu cakap nak tegakkan agama, sekarang ni bersetuju pula dengan orang yang meruntuhkan agama,” tulis Ahmad Firdauz.

Sejak pandemik Covid-19 semakin mengganas, ibadat seperti Solat Jumaat dan pelaksanaan ibadah korban turut terjejas ekoran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam masa sama, terdapat juga penyokong Pas yang membalas kembali serangan pengkritik Hadi.

“TGHH (Tuan Guru Haji Hadi) tak kisah pun penghina dia, kebergantungan hanya pada Allah Taala, yang ruginya kita,” kata Wan Ahmad antara lebih 200 komen dan hampir 1,000 perkongsian dalam tempoh lapan jam hantaran itu dimuat naik.