Malaysia Dateline

Presiden Pas sesak nafas, dirawat di IJN

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah dimasukkan ke Hospital Putrajaya malam tadi selepas dilaporkan sesak nafas.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu kemudiannya dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN) untuk rawatan lanjut.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan hal tersebut tengah malam tadi yang disifatkannya sebagai “berita mengejutkan”.

“Marilah kita bersama mendoakan kesembuhan kepada Tuan Guru dan kembali sihat seperti sedia kala,” katanya menerusi Facebook.

Walau bagaimanapun sehingga jam 7.50 pagi tadi, lidah rasmi Pas, Harakahdaily tidak melaporkan berita membabitkan presiden parti itu.

Laman Facebook rasmi Abdul Hadi pagi ini juga belum memaklumkan situasi terkini kesihatan Ahli Parlimen Marang berkenaan.

Sejak malam tadi, tular dakwaan bahawa Abdul Hadi telah dikejarkan ke Jabatan Kecemasan Hospital Putrajaya.

Kenyataan itu menyebut bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal berkenaan dibawa ke hospital itu pada pukul 7.50 malam kerana mengalami sesak nafas.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri yang juga Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan turut dikatakan berada di hospital sama.

Menurut kenyataan yang tular itu, doktor memaklumkan bahawa situasi Abdul Hadi stabil.

“Jantung beliau lemah berkemungkinan disebabkan dalam keadaan penat,” dakwa kenyataan itu.

Turut diberitahu doktor telah memaklumkan bahawa Abdul Hadi akan dirujuk ke IJN untuk rawatan susulan.

“Beliau juga akan membuat ujian swab di IJN,” dipetik dari kenyataan tersebut.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tengah malam tadi turut memaklumkan keadaan kesihatan Abdul Hadi.

“Saya menerima berita Presiden Pas Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dibawa ke hospital tadi untuk rawatan.

“Dalam keadaan stabil kini. Sama-sama kita doakan semoga Allah SWT mengurniakan kesihatan terbaik dan segera sembuh,” tulis Najib di Facebook rasminya yang sehingga kini menerima 34,000 pelbagai reaksi emosi.

Turut mendoakan kesembuhan Abdul Hadi tengah malam tadi ialah Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

“Semoga Allah mengangkat segala kesakitan dan penyakit beliau,” katanya dalam hantaran di laman Instagram miliknya yang mempunyai 206,000 pengikut itu.

Abdul Hadi yang juga bekas Naib Presiden Kesatuan Ulama Muslimin Sedunia bakal berusia 74 tahun pada 20 Oktober ini.

Dia pernah dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Terengganu selepas mengadu kepenatan pada 18 November 2016.

Pada 15 Mei 2017 pula, Abdul Hadi telah dikejarkan ke hospital di Kuala Lumpur untuk menerima rawatan intensif.

Untuk rekod, beliau pernah tersenarai antara 500 Muslim berpengaruh di dunia bagi kategori Pendakwah dan Pembimbing Rohani oleh ‘The Royal Islamic Strategic Studies’ yang berpusat di Jordan pada 2016.

Abdul Hadi mempunyai latar belakang Ijazah Sarjana Muda Syariah dari Universiti Islam Madinah dan Ijazah Sarjana dalam bidang Sains Politik dari Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir.

Abdul Hadi ketika hendak menunaikan solat Jumaat di Masjid Rusila, 12 Februari lalu.