Presiden Pas tolak dakwaan RUU Akta 355 tidak kemas

Presiden Pas tolak dakwaan RUU Akta 355 tidak kemas

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menempelak pihak tertentu yang mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta 355 yang dibentangkan beliau di Parlimen pada Mei lalu sebagai tidak kemas dan bersifat umum.

Beliau menyifatkan ia adalah pandangan daripada pihak yang tidak memahami perbezaan antara perlembagaan dan undang-undang secara jelas.

Katanya, apa yang dibawa itu menyentuh perlembagaan yang sememangnya bersifat umum, berbeza dengan undang-undang itu sendiri.

“Itu adalah perlembagaan. Perlembagaan mesti umum. Orang itu tidak faham apa itu perlembagaan dan undang-undang,

“Yang kita ini (kena tahu) undang-undang, perlembagaan lain. Kena faham. Ini (RUU) perlembagaan……… mana ada perlembagaan ‘detail’, perlembagaan kena umumlah,”jelasnya.

Ustaz Hadi berkata demikian pada sidang media selepas berucap merasmikan penutup Kongres Rakyat Terengganu di Terengganu Equestrian Resort, di sini, semalam.

Sebelum ini, bekas ahli jawatankuasa teknikal pelaksanaan undang-undang syariah kebangsaan yang dibentuk kerajaan pusat dan Kelantan mempertikaikan RUU itu.

Dr Zulqarnain Luqman bimbang jika ia diluluskan ia boleh dicabar di mahkamah kerana kecacatannya.

Kata pemegang PhD undang-undang Malaysia itu, dari awal lagi sudah ada masalah dan beberapa komen sudah dibuat oleh para peguam mengenainya.

“Yang last sekali apabila ia disokong oleh menteri, saya sendiri telah menelitinya dan memang ada kecacatannya,” katanya dalam satu wawancara dengan akhbar milik Parti Amanah Negara (Amanah).

Katanya, perkataan yang digunakan, ada masalah dari segi teknikalnya.

“Pada saya yang perlu dipinda adalah perenggan kedua seksyen kedua Akta 355 yang memperuntukkan hukuman 356 itu untuk memasukkan tujuan pindaan ini iaitu meningkat bidang kuasa hukuman di mahkamah syariah,” katanya.

Menurut beliau, RUU ini telah turut meminda perenggan 1 seksyen 2 itu.

“Bagi orang awam, mereka tidak nampak tetapi peguam yang selalu membuat kes perlembagaan, dia akan perasan soal ini.

“Kesannya akan besar. Jika mahkamah kata perenggan 1 seksyen 2 yang dipinda itu tidak sah, bermakna bahagian jenayah di mahkamah syariah akan tergantung,” katanya.

Oleh itu, katanya, lebih baik ia dikekalkan dengan yang sedia ada (perenggan 1) yang sudah ditest sejak sekian lama dan tidak ada masalah.
Apabila perkataannya diubah, ia akan berikan tafsiran baru terhadapnya, katanya.

“Sebelum ini, apa yang ada sudah dibawa hingga ke mahkamah persekutuan dan ia disahkan tiada masalaah.

“Jika ada cabaran nanti, jika dipersetujui oleh mahkamah tentang kesilapan pindaan ini, ia akan mendatangkan aib kepada seluruh rakyat beragama Islan dan memberikan aib kepada ketua agama Islam iaitu sultan dan raja-raja Melayu,” kata Zulqarnain.