Presiden Perjiwa didakwa guna jawatan untuk kepentingan politik

Presiden Perjiwa didakwa guna jawatan untuk kepentingan politik

Ketua Penaja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Bukit Bintang Zailani Isausuludin didakwa menggunakan jawatannya sebagai Presiden dalam Pertubuhan Kesepakatan Pemandu Teksi, Kereta Sewa, Limo Premier Eksekutif (Perjiwa) Malaysia untuk kepentingan politik semata-mata.

Salah seorang pemandu teksi di bawah Perjiwa, Jason Thomas berkata Zailani gagal menjalankan tanggungjawabnya mempertahankan hak dan menjaga kebajikan ahli.

“Sepanjang pemerhatian saya, Zailani lebih berminat untuk berpolitik berbanding membela nasib pemandu teksi.

“Malah turut mengunakan kedudukan beliau untuk memaksa pemandu teksi menyertai partinya dan mereka yang enggan akan dianak tirikan,” dakwanya dalam sidang media yang diadakan seperti dilaporkan sebbuah portal berita hari ini.

Dakwanya lagi mana-mana individu yang enggan menyertai Bersatu akan menerima layanan buruk.

Bahkan kata Jason lagi, Zailani sering melewatkan pembayaran elaun sehingga memaksa pemandu lain terpaksa berhutang demi menyara keluarga.

”Tindakan Zailani yang melewatkan bayaran elaun dan tuntutan bayaran pemandu teksi (sehingga 10 – 15 hari) dan ini jelas merupakan satu penindasan sehingga menyebabkan kami tertekan dan tersepit.

“Sedangkan sebelum berdaftar dengan kaunter tersebut, beliau pernah berjanji (mulut) akan menjelaskan bayaran elaun kami paling lewat 3 – 5 hari.

“Sebagai contoh ada dikalangan kami yang terpaksa berhutang dengan ramai pihak kerana kesempitan dan kehabisan wang untuk ‘rolling’ bagi meneruskan hidup seharian seperti membeli makanan, mengisi petrol malah untuk membeli susu anak di rumah juga tidak mempunyai wang,” ujar beliau.

Dakwanya lagi, dianggarkan hampir RM5000 duit elaun pemandu teksi di bawah Perjiwa yang masih gagal dijelaskan sehingga hari ini.