Seorang presiden sebuah pertubuhan amal disyaki berkhalwat selepas ditemukan berdua-duaan dengan wanita di bilik hotel yang terletak di ibu negara, baru-baru ini.
Difahamkan, presiden yang ditahan oleh pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) pada hari Selasa itu berusia di dalam lingkungan 40-an.
Malah menurut sumber pihak berkuasa, lelaki berkenaan juga sudah berkahwin dan mempunyai anak selain pernah aktif mengutip derma untuk mengisi tabung Palestin.
Kutipan berkenaan dipercayai dibuat oleh presiden terbabit menerusi badan bukan kerajaan (NGO) miliknya antara enam ke lapan tahun yang lalu, lapor Harian Metro.
“Dia ditahan oleh sepasukan pegawai Jawi ketika sedang berdua-duaan dengan seorang wanita tempatan berusia dalam lingkungan 30-an.
“Wanita terbabit yang juga merupakan ahli aktif di dalam NGO sama dilihat terlebih dahulu mendaftar masuk ke hotel berkenaan, sebelum lelaki itu tiba kira-kira pukul 2 petang.
“Pasukan penguat kuasa Jawi pula masuk untuk membuat pemeriksaan dalam bilik tersebut pada jam 4.45 petang,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Dedah sumber, lelaki berkenaan cuba melarikan diri dan memberikan alasan bertemu wanita itu untuk memberi barang kepadanya ketika pemeriksaan tersebut dilakukan.
Cubaan lelaki yang lantang bersuara mengenai isu peperangan antara Palestin dan Israel itu bagaimanapun gagal sebelum berjaya ditahan oleh penguat kuasa Jawi.
“Lelaki terbabit pernah berkongsi pentas forum berhubung konflik di Palestin bersama seorang duta dari negara di Timur Tengah.
“Lelaki itu juga merupakan antara individu yang lantang bersuara di media sosial dan media massa berhubung isu peperangan Palestin-Israel.” Ulas sumber terbabit ketika memberi petunjuk mengenai identiti presiden berkenaan.
Baca juga: Perlekeh ambil degree, netizen kecam ‘TikToker’, padahal diri sendiri tengah ‘extend’ semester