Malaysia Dateline

Presiden PKR tentukan calon pengerusi PRK Perak

Timbalan Pengerusi PKR Perak, Dr Lee Boon Chye menyerahkan kepada Presiden parti itu Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menentukan siapa yang akan memegang jawatan Pengerusi PKR Perak yang baharu.

Dr Lee yang juga Anggota Parlimen Gopeng berkata pelantikan jawatan itu akan mengikut proses parti yang betul dan Anwar akan mengumumkan calonnya apabila tiba masanya.

“Pelantikan Pengerusi PKR Negeri terletak di bawah kuasa presiden parti, kita hanya tunggu pengumuman daripada beliau (Anwar).

“Saya tidak menerima arahan atau maklumat berkenaan Pengerusi PKR Negeri Perak, kita akan sokong sesiapa sahaja (yang menjadi pengerusi negeri),” katanya kepada pemberita selepas jamuan makan tengah hari bersama anak-anak yatim di Tokong Tow Boo Keong di sini hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan itu berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung desas desus yang mengatakan beliau bakal dilantik sebagai Pengerusi PKR negeri yang baharu.

Pengerusi PKR Perak, Datuk Dr Muhammad Nur Manuty yang memegang jawatan itu ketika ini telah mengambil keputusan untuk tidak bertanding mana-mana jawatan dalam Pemilihan PKR negeri Perak, Oktober lepas.

— BERNAMA