Presiden Turki ikrar bongkar wajah sebenar FETO kepada dunia

Presiden Turki ikrar bongkar wajah sebenar FETO kepada dunia

Presiden Recep Tayyip Erdogan pada Ahad berikrar untuk membongkar wajah sebenar Pertubuhan Keganasan Fetullah (FETO) — kumpulan yang menjadi dalang percubaan rampasan kuasa pada 2016 di Turki kepada seluruh dunia, lapor agensi berita Anadolu.

Erdogan membuat ikrar itu semasa berucap pada satu majlis anjuran Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Amerika Turki (TASC) dan Kepresidenan bagi Rakyat Turki di Luar Negara serta Komuniti-Komuniti Berkaitan (YTB) di New York.

Presiden itu berkata FETO telah menganiayai rakyat Turki selama 40 tahun, menggembar-gemburkan perkhidmatan pendidikan dan bantuan kewangan serta membina satu rangkaian jenayah yang beroperasi di 150 negara di seluruh dunia.

“Ciri utama FETO ialah ia tidak mempunyai nilai-nilai murni, (ia mempunyai satu) prinsip untuk menganiaya. (Bercakap] Bohong, fitnah, (dan) hipokrit adalah ciri-ciri mereka. Bersama-sama anda, kami akan membongkar wajah sebenar kumpulan pengganas ini kepada dunia, yang telah membunuh 251 orang pada malam 15 Julai,” kata Erdogan.

“Sehingga semua perancang diheret ke muka pengadilan, kami tidak akan berhenti memburu mereka,” kata presiden itu.

FETO dan pemimpinnya yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Fetullah Gulen, telah merancang percubaan rampasan kuasa pada 15 Julai 2016 yang menyebabkan 251 orang maut manakala hampir 2,200 lagi cedera.

Ankara menuduh FETO menjadi dalang satu kempen jangka panjang untuk menumbangkan kerajaan dengan menyusup ke dalam institusi-institusi Turki terutama tentera, polis dan badan kehakiman.

Erdogan berkata Turki kini mengambil langkah sewajarnya untuk mengekstradisi Gulen dan menghentikan semua operasinya di Amerika Syarikat.

Presiden itu juga memberitahu pemberita bahawa tokoh-tokoh pro-FETO di Amerika Syarikat kini berusaha menjejaskan hubungan Ankara-Washington dan menyebabkan kekacauan dalam kalangan umat Islam.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Kepresidenan Turki Fahrettin Altun berkata kultus Gulen menggunakan wang pembayar cukai Amerika dan oleh itu, ia bukan hanya masalah Turki tetapi juga Amerika.

Dalam kenyataannya, Erdogan berkata Turki akan terus memperjuang nasib rakyat Palestin dan berkata isu itu adalah satu “garisan merah” bagi Turki.

“Tiada kuasa atau ancaman yang boleh menghalang kami daripada melindungi undang-undang Palestin,” kata Erdogan.

“Nasib Baitulmaqdis bukan hanya perjuangan sebilangan kecil umat Islam di Palestin, sebaliknya adalah maruah sejumlah 1.7 bilion penduduk Islam di seluruh dunia.”

— BERNAMA