Malaysia Dateline

Presiden Umno berbohong, dakwa Lokman Nor Adam

Panglima perang Umno, Datuk Lokman Noor Adam menyerang Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dengan menyifatkan beliau sebagai berbohong.

Ini berikutan kenyataan Zahid bahawa tidak ada rundingan pintu belakang antara Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

“Presiden Umno ini berbohong. Dia lebih dari tahu bahawa Hishamuddin sedang mengatur gerakan bersama dengan Azmin Ali. Memang benda ini sedang berlaku,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu dalam satu video yang ditularkan beliau dalam facebooknya.

Menurut Lokman, kenyataan enam ahli parlimen Umno baru-baru ini bahawa mereka menyokong kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad agar kekal sebagai PM sehingga habis penggal tidak boleh diterima.

Bagi Lokman keenam-enam mereka adalah penyokong Hishamuddin.

“Saya tak kecil hati sangat bila mereka kata mereka sokong saranan Azmin agar Dr Mahathir kekal sebagai perdana menteri.

“Ini kerana kita faham, nyawa (kedudukan dalam kerajaan) Azmin terletak di tangan Mahathir.

“Selagi Mahathir kekalkan jawatan sampai hujung penggal, selagi itulah nyawa Azmin ali tidak dipenggal oleh Anwar Ibrahim kerana Mahathir yang sekat dari Azmin didakwa di mahkamah kerana hubungan sejenis.

“Kita faham kenapa Azmin nak Mahathir kekal PM.

“Kenapa Hishamuddin nak Dr Mahathir kekal pun kita boleh faham kerana mula-mula dulu ditawarkan jadi timbalan PM, kemudian yang terkini perdana menteri walaupun gagal bawa 30 kerusi,” kata Lokman

Tetapi, kata Lokman, apa yang mengecewakan beliau adalah kenyataan presiden Umno.

“Saya sangat-sangat kecewa,” kata Lokman yang selama ini adalah di belakang usaha kebangkitan semula Umno selepas kalah dalam pilihan raya umum lalu.

Menurut Lokman, selama ini Hishamuddin adalah orang yang menghasut ahli-ahli parlimen Umno untuk melompat parti.

“Siapa yang hasut ahli parlimen Tasik Gelugor untuk lompat parti?

“Tetapi apabila Umno dah kuat. Sudah ada muafakat dengan Pas, dia tarik hand brake dan kata saya setia dengan Umno.

“Okey kita boleh terima. Kalau sudah setia dengan Umno, buat apa kerja nak menyelamatkan orang tua ni,” kata Lokman.

Bagi beliau, Zahid tahu apa yang dibuat oleh Hishamuddin ini.

“Zahid tahu perkara ini tetapi kenapa nak protect (lindungi) manusia ini,” kata Lokman.