Malaysia Dateline

Presiden Umno cadang kerajaan stabil ditubuhkan

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan sebuah kerajaan yang stabil mesti segera ditubuhkan untuk satu tempoh yang munasabah.

Dalam satu kenyataan malam ini, beliau berkata, penubuhan kerajaan yang stabil itu hanya akan menumpukan perang terhadap pandemik Covid-19 dan menguruskan hal berkaitan kesejahteraan rakyat yang semakin meruncing.

“Bagi tujuan ini, sebuah Kabinet yang efektif mirip seperti ‘War Cabinet’ yang hanya memfokuskan proses pemulihan negara mendepani pandemik hendaklah dibentuk.

“Setelah negara mencapai imuniti kelompok dan keadaan memungkinkan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan, maka kerajaan ini harus dibubarkan bagi menyerahkan semula mandat mutlak kepada rakyat,” jelasnya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu juga menegaskan bagi menjamin kestabilan dan kerjasama politik dicapai, tindakan menzalimi parti dan pimpinan lawan hendaklah dihentikan.

Menurutnya, menggunakan agensi-agensi kerajaan untuk melemahkan lawan dalam mengekalkan kuasa tidak akan memberi apa-apa faedah kepada rakyat.

“Sebagai manusia biasa, pastinya saya tidak dapat menyembunyikan perasaan terhiris apabila pelbagai tuduhan dan tohmahan dilemparkan ke atas diri saya, sepanjang kemelut politik yang berlaku ini.

“Demi kepentingan rakyat dan negara ketahuilah, saya tidak pernah terlintas untuk menamakan diri saya sebagai calon Perdana Menteri walaupun mengepalai sebuah parti terbesar,” luahnya.

Sehubungan itu, Zahid berkata, Umno sebagai sebuah parti yang mempunyai pengalaman luas dan panjang dalam mentadbir negara akan mempertimbangkan beberapa calon.

Beliau turut berharap Ahli-Ahli Parlimen dapat memberi sokongan dan kerjasama selain menyeru kepada seluruh ahli dan kepimpinan Umno di semua peringkat untuk mengenepikan segala perbezaan dengan kembali bertaut demi menjayakan agenda rakyat dan negara ini.