Malaysia Dateline

Presiden Umno mahu ke Jerman rawat sakit belakang dan leher

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur supaya pasportnya dikembalikan sementara bagi membolehkannya ke Munich, Jerman untuk mendapat rawatan.

Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri berusia 68 tahun itu kini sedang berdepan 47 pertuduhan pengubahan wang haram, pecah amanah dan rasuah.

Daripada 47 pertuduhan membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi itu, 27 kes melibatkan pengubahan wang haram, 12 kes pecah amanah dan lapan tuduhan rasuah/

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Zahid memaklumkan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah bahawa anak guamnya itu menderita sakit belakang dan leher serta perlu mendapatkan rawatan daripada pakar terkemuka di Munich.

“Anak guam saya mengalami sakit belakang dan leher. Beliau pada asalnya dirawat doktor dari Jerman pada 2013, 2014, 2016.

“Kami membuat permohonan ini untuk membolehkan tertuduh menerima rawatan sebab rawatan intervensi di Malaysia tidak mencukupi untuk (mengurangkan kesakitan) beliau,” lapor Bernama. 

Permohonan itu difailkan pada 4 Oktober dan hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes. Timbalan Pendakwa Raya, Gan Peng tidak membantah permohonan itu.

Lawrence Sequerah kemudian menetapkan 11 Oktober ini untuk keputusan permohonan tersebut.

Sementara itu, Hamidi ketika ditemui media selepas prosiding berkata, Zahid memohon pasportnya dipulangkan pada 26 Oktober ini dan akan mengembalikannya pada 21 November.

“Kami akan membuat permohonan sama (mendapatkan pasport) di Mahkamah Tinggi Shah Alam, pada Isnin (11 Oktober) ini,” katanya.