Malaysia Dateline

Presiden Umno mahu percepat PRU-15 selepas MoU tamat

Secara berterus terang, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan selepas memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tamat pada Julai nanti.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mendakwa faktor ‘feel good’ yang dirasai rakyat dengan mereka kembali menyokong BN, perlu diambil kesempatan parti itu, sekali gus menyegerakan PRU-15.

Menurutnya, MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai Pakatan Harapan (PH) dengan Kerajaan Persekutuan pada September tahun lalu yang berakhir 31 Julai ini, antara lain mempersetujui PRU-15 harus diadakan selepas Julai.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk mempersoal pendirian pembangkang berhubung pelaksanaan PRU-15.

“Jadi, mengapa mereka (pembangkang) berubah fikiran, kononnya PRU-15 seharusnya diadakan hingga akhir 2023 dengan MoU 2.0 mahu ditandatangani.

“Ini bermakna mereka (pembangkang) ada masalah dalaman, tak yakin dan rasa ditolak rakyat. Pada hemat saya, jangan beri masa yang panjang untuk mereka betulkan keadaan, jangan beri peluang secukupnya untuk mereka susun barisan mereka.

Presiden Umno mahu percepat PRU-15 selepas MoU tamat
BN mahu PRU-15 diadakan dalam masa terdekat.

“Rakyat telah bertukar cita rasa kepada BN. Pada Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14), kita lihat sekarang di dalam PRU-14 ditangguhkan lebih daripada setahun selepas kita menjuarai Sukan SEA menyebabkan tiada faktor ‘feel good’ lagi di kalangan rakyat menyebabkan BN tewas.

“Saya harap kali ini apabila faktor ‘feel good’ sudah menjadi faktor utama untuk menggamit dukungan rakyat semula maka perlulah mandat baharu di peringkat nasional diperoleh daripada rakyat untuk mewujudkan kestabilan di negara kita,” dipetik BH hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian selepas meninjau Bilik Gerakan MIC Negeri Johor, di Johor Bahru, hari ini.