Malaysia Dateline

Presiden Umno minta BPN dilaksana dengan jujur

Bantuan Prihatin Nasional (BPN) perlu dipercepatkan dan diperluaskan bagi memastikan pakej ransangan ekonomi lebih berkesan dan mencapai sasaran untuk membantu rakyat yang mengalami kesusahan, kata Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, adalah lebih baik orang yang tidak layak mendapat BPN mendapat BPN berbanding dengan situasi jika ada orang yang perlu mendapat bantuan tertinggal tidak mendapat bantuan atas alasan birokrasi.

Beliau berkata, kerajaan perlu mempercepatkan pembayaran bantuan tersebut jika permohonan mereka telah diluluskan tapi pembayaran masih belum dibuat atas alasan birokrasi.

“Ini kerana, bagi ramai pemohon, wang BPN ini sangat dinanti-nantikan terutama bagi mereka yang dipotong gaji, dan terutamanya mereka yang kehilangan sumber pendapatan sepanjang tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas dakwaan mereka yang ada mendaftar perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) secara automatik tidak layak untuk mendapat BPN, sebaliknya perlu memohon Geran Khas Prihatin (GKP), beliau berkata, ada beberapa kriteria yang perlu dipenuhi untuk seseorang itu memohon GKP.

“Antaranya adalah jumlah jualan atau perolehan tahunan perniagaan kurang daripada RM300,000 dan masih aktif menjalankan perniagaan semasa permohonan dibuat.

“Kekhuatiran saya adalah bagi pemohon BPN yang satu ketika dulu pernah mendaftar perniagaan dengan SSM tapi kini mereka sudah tidak lagi aktif berniaga.

“Mungkin sekarang mereka sudah kembali menjadi pekerja ataupun bekerja sendiri dengan pendapatan yang tak seberapa. Lebih malang lagi jika perniagaan yang cuba mereka ceburi mengalami kerugian dan kini tidak punya sumber pendapatan sama sekali,” jelasnya.

Sehubungan itu, Zahid berpendapat golongan itu perlu dimasukkan dalam kategori yang berkelayakan bagi mendapat BPN.

“Tetapi malangnya mereka tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan kerajaan untuk melayakkan mereka mendapat bantuan atas alasan kerana mereka pernah mendaftar perniagaan walaupun perniagaan itu sudah tidak aktif.

“Alasan yang digunakan sebelum ini bahawa ‘sekiranya seseorang itu mempunyai syarikat yang berdaftar dgn SSM, secara automatik tidak layak untuk mendapat bantuan tunai BSH, BPN dan sebagainya’ sebenarnya tidak tepat.

“Kerana di negara kita juga terdapat ramai individu berniaga pada skala kecil (kategori PKS), ramai juga yang mengambil gaji bulanan sedikit sahaja dari syarikat mereka, dan keuntungan syarikat yang diaudit dilaporkan ke LHDN menunjukkan keuntungan yang sangat kecil, di samping itu ada syarikat PKS yang mengalami kerugian,” ujarnya.

Juster, Ahli Parlimen Bagan Datuk ini berpendapat kerajaan seharusnya tetap memberi bantuan tunai kepada mereka terbabit menerusi BPN jika jumlah pendapatan tahunan mereka layak sebagai penerima bantuan.

“Sekiranya ini dilaksanakan, pada hemat saya, secara tak lansung kerajaan dapat galakkan rakyat untuk melaporkan pendapatan secara telus dan jujur pada masa akan datang,” tambahnya lagi.