Presiden Usno nafi Shafie akan sertai parti itu

Presiden Usno nafi Shafie akan sertai parti itu

Presiden Usno, Dulli Tiaseh menafikan desas-desus yang mengatakan bahawa Datuk Seri Mohd Shafie Apdal merancang untuk memulihkan parti itu.

Dulli berkata beliau tidak pernah berjumpa dan berbincang dengan bekas naib presiden Umno itu mengenai rancangannya untuk memulihkan Usno sekaligus membentuk blok menentang BN pada pilihan raya umum ke-14.

“Usno di bawah kepimpinan Dulli Tiaseh adalah dalam kedudukan berstatus aktif. Selaku presiden Usno, saya tidak pernah berjumpa dengan Datuk Seri Shafie Apdal… dan juga tidak berminat menemui beliau (Shafie).

“Mengikut maklumat yang saya terima dari mereka yang pernah hadir dalam majlis Shafie Apdal, tidak ada mengatakan yang beliau (Shafie) mahu menyertai Usno,” katanya kepada Malaysiakini.

Dulli bagaimanapun berkata, beliau mendapat maklumat bahawa Shafie kini dikatakan dalam usaha untuk memulihkan Parti Kebangsaan Sabah (PKS) untuk menghadapi PRU14.

“(Shafie) hanya mahu menubuh parti baru parti tempatan yang tiada kaitan dengan Semenanjung.

“Dengar yang terkini parti baru itu sudah berdaftar dan dirasmikan (tapi) belum pernah bertanding dalam pilihan raya.

“Saya tidak pasti (parti apa tapi) bunyi macam parti PKS yang telah diluluskan tiga tahun lalu,” katanya.

Sebelum ini wartawan veteran Datuk A Kadir Jasin berkata Shafie merancang untuk memulihkan Usno, sebagai sebahagian daripada rancangan membentuk blok menentang BN pada PRU14.

Kata Kadir, Blok itu akan kerjasama dengan parti Muhyiddin, Pakatan Harapan dan Pas, bertujuan untuk memastikan pertandingan satu lawan satu dengan BN pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu Dulli berkata Usno mempunyai 17 bahagian yang telah diluluskan di seluruh Sabah.

Malah katanya, parti itu kini telah bersedia untuk ‘masuk gelanggang’ dalam pilihan raya akan datang.

“Kita sudah sedia masuk gelanggang. Usno berpendirian di tengah-tengah. (Kita) tidak sokong pembangkang dan juga BN,” katanya.

Ditanya sama ada parti itu sedia menerima Shafie yang juga ahli Parlimen Semporna jika beliau berhasrat menyertai Usno, Dulli berkata:

“Majoriti bahagian di seluruh Sabah menolak kalau (Shafie) terus mengambil alih jawatan presiden,” ujarnya sebagaimana sumber dipetik Malaysiakini.

COMMENTS

Wordpress (0)