Presiden Venezuela menyeru semangat setiakawan rakyat Amerika

Presiden Venezuela menyeru semangat setiakawan rakyat Amerika

Presiden Venezuela Nicolas Maduro menyeru rakyat Amerika menunjukkan semangat setiakawan dan jangan biarkan “peristiwa hitam di Vietnam berulang di Amerika Latin.”

Dalam video yang disiarkan di Facebook lewat Selasa, beliau berkata: “Saya merayu semangat perpaduan anda…jika Amerika Syarikat (AS) tetap berhasrat campur tangan, ia akan mewujudkan tragedi lebih buruk berbanding di Vietnam. Mari kita halang keganasan daripada berlaku.”

“Pemilik empayar pentadbiran AS, mahu mendapatkan minyak di negara kita seperti apa yang mereka lakukan di Iraq dan Libya.

“Kita sebuah negara kaya dengan sumber tenaga, alam semula jadi, itulah hakikatnya mengapa ada pihak menyasarkan Venezuela,” lapor agensi berita Xinhua.

Kebanyakan berita mengenai Venezuela yang tersebar di AS adalah tidak benar dan sengaja  direka untuk menghalalkan tindakan AS mencampuri urusan negara, kata Maduro.

“Satu kempen global telah dilancarkan menggunakan imej yang telah dimanipulasi … jangan percaya apa yang disiarkan televisyen dan saluran media di AS,” katanya.

Hubungan kedua-dua negara kian meruncing selepas Washington memutuskan untuk mengiktiraf pemimpin pembangkang Juan Guaido sebagai presiden sementara.

— BERNAMA