Prestasi 6 penggal ADUN Sebuyau dipertikai penduduk, mampukah AMANAH Sarawak peroleh undi?

Oleh KIM SYAZIE

Rata-rata rakyat Sarawak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau didakwa hampa dan sudah mula mempertikai prestasi Datuk Julaihi Narawi yang sudah 30 tahun menjadi wakil rakyat di kawasan itu.

Pengarah komunikasi AMANAH Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, prestasi Julaihi selama enam penggal sudah mula menjadi cakap-cakap orang kampung terutama apabila Sebuyau masih jauh ketinggalan berbanding dengan pekan-pekan lain walaupun jarak Pekan Sebuyau hanya 115 km dari Kuching.

“Kemudahan asas seperti jalan raya, bekalan air bersih, kemudahan dan keselesaan tapak perniagaan untuk penjaja, masalah kekerapan banjir kesan dari air pasang besar, kemudahan talian telefon dan internet masih berada pada tahap yang rendah.

“Perlu diingat beliau juga adalah Menteri Muda Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Kalau ada pun beberapa kemudahan itu, ianya tertumpu kepada ahli keluarga dan kroni beliau di Kampung
Sebangan. Hal ini sekali lagi menimbulkan perasaan yang sangat tidak puas hati dalam kalangan penduduk tempatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Disebabkan itu katanya, penerimaan calon AMANAH, Maxwel Rojis dalam kalangan kaum Iban sangat tinggi memandangkan Maxwel adalah dari kaum mereka yang telah mula bertanding sejak tahun 1991 lagi.

Dalam tempoh kempen di rumah-rumah panjang dan di penempatan kaum Iban, Maxwel sentiasa di beri sambutan yang hangat, kata Ismail.

Justeru katanya, penganalisis politik menjangkakan Maxwel mampu meraih sekitar 70 peratus dari lebih 3,000 orang pengundi Iban.

“Kaum suku Iban yang mewakili lebih dari 30 peratus pengundi, membangkitkan perasaan tidak puas hati terhadap layanan dari pihak kerajaan terutamanya berkait dengan isu tanah adat, NCR.

“Mampukah AMANAH melahirkan anak sulung mereka di sini? Sama-sama kita tunggu,” ujarnya.